BERANI SAHUT CABARAN FAKTOR KEJAYAAN
USM, PULAU PINANG, 7 Mei 2016 – Perubahan dunia yang semakin pesat memerlukan golongan mahasiswa untuk terus tampil berani ke hadapan dan meneroka sesuatu di luar kelaziman.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey ketika berucap di majlis Siri Persembahan Pentas 2015/2016 anjuran Persatuan Bahasa Tionghua (PBT) Universiti Sains Malaysia (USM), pelajar seharusnya mendidik diri mereka untuk lebih berani berhadapan dengan apa jua cabaran yang mendatang.
“Untuk menjadi seorang pemimpin atau ketua sesebuah program atau organisasi bukanlah perkara yang mudah kerana perlu menguruskan dari semua aspek,” jelas beliau.
Tambah beliau, selain berani berhadapan dengan cabaran pelajar juga harus mempunyai sifat berani dalam diri masing-masing untuk menempuh dugaan hidup dan tidak mudah mengalah kepada sebarang cabaran kerana itulah yang menjadikan kita lebih kuat.
“Sehubungan itu saya amat berbangga dengan Persatuan Bahasa Tionghua USM sekali lagi berjaya mengadakan Siri Persembahan Pentas 2015/2016 yang bertemakan “X-periment” dan berani memberi peluang kepada ahli-ahlinya untuk menunjukkan bakat mereka,” tambahnya lagi.
“Dengan kebolehan dan kepakaran untuk menguruskan sesebuah program sekali gus akan meningkatkan kualiti pelajar USM sebagai pemimpin bukan sahaja kepada etnik sendiri malah juga kepada negara,” akhirinya.
Menurut Yang Dipertua Persatuan Bahasa Tionghua USM, Ng Hor Yean, beliau juga melahirkan rasa bangga terhadap ahli jawatankuasa tersebut dan sedar bahawa perancangan aktiviti sebegini bukan sesuatu yang mudah.
Sementara itu, Pengarah Projek Siri Persembahan Pentas 2015/2016, Ng Teck Aun pula berkata, walaupun masing-masing sibuk dan mempunyai komitmen terhadap tugas seharian seperti menghadiri kuliah, tutorial dan makmal, namun mereka masih mampu membahagikan masa untuk merancang dan menjayakan program tersebut.
Siri Persembahan Pentas 2015/2016 merupakan aktiviti tahunan Persatuan Bahasa Tionghua dan dihadiri 500 hadirin yang terdiri daripada pelajar USM dan orang awam.
Pada malam tersebut hadirin berpeluang menyaksikan persembahan tarian, nyanyian, drama, Acappella dan violin.
Teks: Aishah Hanis Azmi (Pelajar Internship USM)
Foto: Zulfikar Azmi Muhamad Aripin
- Created on .
- Hits: 1467