USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LIGA IPT 2016 - MINDEN TIGERS RAIH KEMENANGAN SULUNG

13124937 941559625964544 5759189590555353247 n

USM, PULAU PINANG, 7 Mei 2016 - Skuad bolasepak Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Liga IPT Divisyen 1 apabila membenam Kolej Komuniti Kedah (KK Kedah) dengan jaringan 3-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium USM hari ini.

Selepas berjaya mengikat Multimedia Universiti (MMU) 1-1 pada perlawanan pertama minggu lalu, skuad kendalian Ahmad Norafandy Yatim atau lebih dikenali sebagai 'Jibong', tekad mencapai misi mengutip tiga mata penuh di laman sendiri.

Kesungguhan USM mencari kemenangan pertama dibuktikan apabila seawal minit kedua, serangan yang diketuai Mus'ab Umair berjaya dicipta namun berjaya diselamatkan penjaga gol KK Kedah, Muhammad Tasnim.

Minit ke-15, peluang keemasan USM terhidang lagi namun tandukan Nabil Fikri hasil sepakan sudut berjaya diselamatkan Muhammad Tasnim di atas garisan gol.

Jentera tengah USM yang diketuai permata hitam Suleiman Auwal dan Muhd Fakhulrazi berjaya membentuk rangkaian dan persefahaman yang jitu, dan hasilnya pada minit ke-19 dan ke-21, dua lagi percubaan menarik melalui Mus'ab Umair dan Muhd Saifuddin namun dihampakan sekali lagi oleh Muhammad Tasnim.

Kelonggaran barisan pertahanan KK Kedah dihidu lagi pada minit ke-26 dan ke-31 menerusi percubaan tepat Muhd Asyfaf dan Ahmad Hambali namun Muhammad Tasnim berada tepat di posisinya.

Minit ke-36, kekebalan benteng pelawat diruntuhkan melalui rembatan kencang oleh Muhd Asyraf dari penjuru kiri kotak penalti untuk membolehkan USM mendahului 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua bermula dengan KK Kedah berjaya memperoleh peluang pertama pada minit ke-50 tetapi percubaan Ahmad Haziqi berjaya ditangkap kemas penjaga gol USM, Muhd Hafizh.

13139213 946235035497003 5631464843201471847 n

Namun, kealpaan benteng pertahanan KK Kedah pada minit ke-64 membawa padah apabila Abu Yazid mudah menewaskan penjaga gol melalui larian solo yang menarik.

Tersentak dengan gol kedua USM, KK Kedah mula memperkemas taktik serangan namun persefahaman antara 'bilik enjin' dan benteng pertahanan seringkali mengecewakan mereka.

Minit ke-86, gol ketiga USM hadir melalui tandukan sendiri pertahanan KK Kedah ketika dalam usaha mengeluarkan bola dari kawasan bahaya hasil sepakan percuma.

Pengurus USM, Nazru Hj. Ismail ternyata gembira dengan kejayaan ini dan mengharapkan momentum kemenangan dapat dikekalkan.

"Walaupun USM akan bertemu dengan pasukan yang dilihat lebih mantap selepas ini, namun saya yakin, pemain sudah bersedia dan akan memberikan saingan sengit kepada pasukan lawan," katanya.

USM akan bertemu dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di tempat lawan pada 14 Mei sebelum kembali beraksi di laman sendiri menentang Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 28 Mei nanti.

Teks: Mohamad Danial Shahri

  • Created on .
  • Hits: 1095

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024