USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MAHASISWA PERLU SEMAT NILAI "HEBAT" DALAM DIRI, KATA TNC HEPA

USM, PULAU PINANG, 7 Mei 2016 - Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) diseru  menghayati nilai "HEBAT" untuk memperkasa jati diri sebagai modal insan yang akan mewarisi kepimpinan negara masa hadapan.

Nilai "HEBAT" iaitu H-Holistik, E-Entrepreneur, B-Balance, A-Articulate, T-Thinking perlu disemai oleh semua Mahasiswa USM.

Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni - HEPA), Profesor Dato Dr. Adnan Hussein berkata, mahasiswa USM perlu berbeza daripada mahasiswa lain dengan menguasai nilai-nilai tersebut.

"USM adalah universiti APEX dengan moto Kami Memimpin, jadi ini merupakan cabaran utama buat mahasiswa USM dalam membentuk diri menjadi lain dari yang lain."

Adnan yang juga Lt. Kolonel (K) Tentera Udara Diraja Malaysia berkata salah satu dari kriteria nilai HEBAT tersebut adalah disiplin.

"Salah satu kriteria dalam melahirkan mahasiswa yang hebat adalah disiplin yang tinggi dalam mengatur kehidupan, masa dan mengimbangi waktu mengulangkaji pelajaran dan aktiviti kokurikulum."

Jelasnya, atas sebab itu mahasiswa yang menyertai badan beruniform akan disajikan dengan latihan yang mencabar dan menguji mental fizikal kerana sudah pasti sedikit sebanyak akan membantu apabila menempuh alam pekerjaan luar kini yang penuh mencabar.

Beliau berucap merasmikan Perbarisan Pembukaan Latihan Badan Beruniform di Padang Kawad USM yang melibatkan 321 anggota terdiri daripada PALAPES Darat, Laut dan Udara, Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (SUKSIS), Sukarelawan Pertahanan Awam (SISPA) serta beberapa badan beruniform yang lain.

Yang turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal; Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum USM, Prof. Madya Dr. Ahmad Tajuddin Othman; Pengarah  Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USM, Dr. Nazaruddin Zainon; Pegawai-Pegawai Utama PALAPES dan badan beruniform.

Adnan juga menasihati barisan anggota badan beruniform agar menjadi model untuk dicontohi ketokohan, disiplin dan berintegriti tinggi.

Teks dan Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 6300

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024