USM BANTU CAPAI HASRAT SEKOLAH TRANSFORMASI
KUBANG KERIAN, 5 Mei 2016 – Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) mengadakan ceramah penjagaan kesihatan, pemeriksaan kesihatan percuma, pameran kesihatan jantung dan senamrobik di Sekolah Kebangsaan Tok Che Dol (SKTCD), Tanah Merah hari ini.
Menurut Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) SKTCD, Latifah Mustapha, program ini dilihat dapat membantu pihak sekolah mencapai hasrat sebagai sebuah sekolah transformasi.
“Selain daripada kecemerlangan akademik, kesihatan fizikal para pelajar juga merupakan objektif sekolah transformasi, dengan kehadiran pihak Hospital USM dapat mendidik dan meningkatkan pengetahuan pelajar serta ibu bapa tentang penjagaan kesihatan yang baik.
“Langkah ini juga dapat merapatkan hubungan antara pihak sekolah dan komuniti luar seterusnya memenuhi ciri-ciri sebuah sekolah transformasi,” katanya.
SKTCD merupakan salah sebuah daripada lapan buah sekolah transformasi di Kelantan yang terpilih untuk dijadikan penanda aras bagi tempoh tiga tahun melalui penggunaan modul dan sistem pembelajaran abad ke-21.
Guru Tahun Enam, Asmawati Abdullah gembira dengan sambutan menggalakkan daripada ibu bapa dan murid dengan tarikan utamanya pemeriksaan kesihatan percuma Hospital USM.
Ketua Pengawas sekolah Mohd Firdaus Fitri turut gembira dengan perkongsian ilmu kesihatan oleh pihak Hospital USM dan dia dan rakan-rakannya bersemangat menjawab soalan kuiz kesihatan sekaligus memberi dorongan untuk belajar bersungguh-sungguh.
Teks & Foto: Mohd Hafiz Yaacob, Normimi Shahira Mohd Daud (Pelajar Internship UUM)
- Created on .
- Hits: 1089