BENJAMIN JUARA ‘BRAIN BEE CHALLENGE’ 2016
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Mei 2016 – Penyertaan buat kali pertama dan mewakili Zon H tidak menghampakan apabila pelajar Sekolah Menengah Methodist, Sibu, Sarawak, Benjamin Wong Yi Ren, 16, dinobatkan sebagai juara ‘Malaysian Brain Bee Challenge’ (MBBC) 2016.
Dengan perbezaan kiraan markah sebanyak 5%, pemegang ID BrainBee H715 itu berjaya menewaskan 26 pesaing dari kalangan para pelajar sekolah menengah seluruh Malaysia.
Benjamin yang begitu gembira dengan kemenangannya seakan tidak percaya beliau dinobatkan sebagai juara MBBC 2016 yang membolehkannya mewakili negara ke Pertandingan ‘International Brain Bee Championship (IBB) 2016 anjuran European Federation Of Neuroscience Societies (EFNS) di Copenhagen, Denmark pada 30 Jun hingga 4 Julai nanti.
"Saya seakan tidak percaya dengan kemenangan ini kerana para pesaing hebat-hebat semua dan datang dari sekolah yang ternama.
“Saya akan berikan yang terbaik semasa di Copenhagen nanti kerana amanah yang digalas adalah nama negara kita yang perlu dijunjung tinggi," kata Benjamin.
Pelajar Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu, Kelantan, Muhammad Afiq Nasir menjadi Naib Juara manakala pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Ling, Butterworth, Pulau Pinang, Koay Xian Jing mendapat tempat ketiga.
Peserta dari Kolej Melayu Kuala Kangsar, Shaikh Irfan Zikry Shaikh Mohamed Imran, menerima Anugerah Al-Biruni yang telah diperkenalkan bermula tahun 2014 sempena memperingati salah seorang Tokoh Ilmuan Islam yang juga seorang saintis, Abu Al-Rayhan Muhammad Ibn Ahmad Al-Biruni.
Irfan Zikry adalah peserta paling cemerlang dalam sesi pertandingan di peringkat zon dalam pelbagai aspek yang dinilai seperti ketepatan menjawab persoalan dan kecerdasan minda yang dimiliki.
MBBC adalah Projek Libatsama ‘BrainBee@USM’ melalui sokongan Geran Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Persatuan Jaringan Neurosains Kelantan, Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Neurosains, Kampus Kesihatan USM, Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Taylor’s University.
Pusingan akhir MBBC peringkat kebangsaan melibatkan 27 peserta teratas daripada 19 buah sekolah menengah seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak yang telah mendahului lebih 1,000 pelajar seluruh negara dalam pusingan saringan dan peringkat akhir zon masing-masing.
Berucap pada majlis MBBC 2016, Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Dr. Ahmad Sukari Halim berkata, pihaknya berbangga kerana program menguji minda dalam bidang Neurosains ini kian mendapat perhatian ramai.
“MBBC adalah untuk menyemai kesedaran berkaitan bidang ilmu Neurosains dalam kalangan generasi muda bermula di peringkat sekolah menengah lagi,” ujarnya.
Yang turut hadir pada majlis ini ialah Penolong Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Mafauzy Mohamed; Pengarah Perkhidmatan dan Penyelidikan Neurosains Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Jafri Malin Abdullah; Pensyarah Kanan Jabatan Neurosains selaku Penyelaras Program, Profesor Madya Dr. Muzaimi Mustapha dan guru-guru pengiring yang terlibat.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Mohd Asrar Rokeman
- Created on .
- Hits: 1162