PENJAGAAN LAUT TANGGUNGJAWAB BERSAMA
USM, PULAU PINANG, 5 Mei 2016 - Bertemakan Biodiversity: Under the Sea, Project Ocean Awareness 2016 dijalankan untuk menimbulkan rasa tanggunggjawab kepada masyarakat khususnya pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) terhadap keperluan menjaga dan memelihara lautan.
Menurut pengarah projek, Natasha Neoh Chia Wen, laut dan ekosistemnya memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia sebagai sumber oksigen, makanan dan ubatan dan manusia selaku pengguna kepada sumber-sumber lautan seharusnya bertanggungjawab menjaga laut dengan baik.
Katanya, sejak kebelakangan ini terdapat pengurangan secara global terhadap spesies lautan disebabkan oleh peningkatan populasi manusia, eksploitasi sumber, perubahan cuaca, pencemaran dan masalah pemahaman serta pengetahuan yang kurang terhadap spesis dan ekosistem lautan.
“Projek ini bertujuan untuk membawa kesedaran mengenai kepelbagaian dan ekosistem hidupan marin serta kepentingannya di samping membantu peserta untuk memahami dengan lebih baik usaha kami untuk memelihara dan memulihara laut,” katanya.
Berlangsung dari bulan April hingga Mei, beberapa aktiviti dijalankan melibatkan pelajar USM seperti Ocean 101 yang terdiri daripada ceramah daripada Profesor Zulfigar Yasin dan Powershift Malaysia, tayangan filem Planet Ocean serta Program Pelepasan Anak-anak Penyu di Pantai Kerachut, Teluk Bahang, Pulau Pinang.
Terdapat juga aktiviti yang turut melibatkan orang awam seperti Ocean Savers bagi membersihkan pantai yang akan dijalankan di dua lokasi yang berbeza iaitu di Batu Ferringhi dan Pulau Perhentian serta larian amal Get Set to Get Wet yang akan diadakan di Kampus Induk USM, kesemuanya pada bulan Mei 2016.
Projek Ocean Awareness 2016 mula diperkenalkan pada 2013 melalui sekumpulan pelajar daripada Pusat Pengajian Sains Kajihayat dibawah Kelab Menyelam Skuba USM bagi mewujudkan kesedaran mengenai lautan.
Teks: Nor Khamisah Saidin(Pelajar Internship USM) / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 2050