USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

'HIKAYAT BUDAK PhD’ INSPIRASI KEJAYAAN MASA HADAPAN

thumbnail IMG 0742

KUBANG KERIAN, 5 Mei 2016 –  Pensyarah  di Jabatan Ortopedik, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Muhamad Syahrul Fitri Zawawi, 29, menghasilkan buku dan memanfaatkan media sosial demi untuk memberi inspirasi untuk anak-anak muda mencapai kejayaan pada masa hadapan.

Anak muda yang mempunyai kelulusan Ph.D dalam bidang Patologi Ortopedik ini menulis buku ‘Hikayat Budak PhD’ yang  sedang laris di pasaran dan kehabisan stok di Pesta Buku Antarabangsa Malaysia juga menulis kisah kehidupan rumahtangganya dalam sebuah buku bertajuk ‘Isteri Untuk Dia’ yang turut mendapat perhatian para peminat novel Melayu.

“Saya berharap usaha ini akan memberi  inspirasi kepada orang lain terhadap pentingnya usaha gigih dalam kehidupan, menguasai  Bahasa Inggeris untuk mencari ilmu, meningkatkan kualiti diri, memudahkan komunikasi namun jati diri perlu kekal dan sebati di jiwa dan nurani seseorang itu,” kata Muhamad Syahrul Fitri.

dr syah 2

dr syah 1

Beliau berasal dari sebuah kampung di Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu Kelantan ini dari kecil lagi suka membaca dan bercakap dalam Bahasa Inggeris biarpun hanya bercakap seorang diri di depan cermin namun itu membuahkan hasil apabila selalu cemerlang dalam subjek tersebut tidak kira penulisan mahu pun lisan.

Anak sulung daripada dua adik-beradik ini membesar dengan memenangi pelbagai pertandingan melibatkan Bahasa Inggeris sehingga ke peringkat antarabangsa dan kejayaan tersebut membuka peluang kepadanya melanjutkan pelajaran ke The University of Adelaide, Australia dari Ijazah Sarjana Muda sehingga ke peringkat PhD.

Merantau menuntut ilmu di negara orang dalam usia semuda 19 tahun, memberikan cabaran kepada beliau namun keyakinan, semangat dan kekuatan serta sikap suka mencabar diri menjadikan beliau seorang anak muda yang tidak mudah tewas dengan keadaan sekeliling biarpun berjauhan daripada keluarga.

Sepanjang empat tahun di Adelaide, beliau berjaya memperolehi dua Ijazah Sarjana Muda dalam bidang yang berbeza iaitu Bachelor of Science (Biotechnology) dan Bachelor of Health Sciences (Honours).

Walaupun membuat keputusan berkahwin semasa berada pada tahun ketiga pengajian Ijazah Sarjana Muda ketika  berumur 22 tahun dan menghadapi cabaran dari segi kewangan di negara orang, namun keadaan ini tidak menjejaskan pengajiannya.

dr syah 4

Beliau mendapat kejayaan First Class Honours. Mendapat kejayaan cemerlang dalam dua ijazah tersebut, beliau dihujani tawaran melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD daripada beberapa universiti luar negara tanpa perlu Ijazah Sarjana (Masters).

Setelah berbincang dengan keluarga,  beliau memilih untuk meneruskan pelajaran di universiti yang sama iaitu The University Of Adelaide dengan biasiswa Rancangan Latihan Kakitangan Akademik (RLKA), USM.

“Semasa mengikuti pengajian PhD, saya mencabar diri untuk menamatkan pengajian dalam tempoh tiga tahun sahaja walaupun tempoh sebenar yang biasa diambil oleh pelajar PhD lain adalah selama empat tahun lebih, tetapi Alhamdulillah niat saya dipermudahkan oleh Allah dan saya berjaya menyiapkan tesis dalam tempoh tiga bulan sekaligus menyiapkan PhD dalam masa tiga tahun.

Tahun akhir PhD saya merupakan tahun yang paling sibuk kerana di samping belajar, saya juga aktif berpersatuan dan memegang jawatan yang penting contohnya menjadi Ketua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) South Australia serta Setiausaha Malaysian Post Graduate Student Association of South Australia (MpSA SA),” tambah beliau.

Kecemerlangan Muhamad Syahrul Fitri tidak terhenti terserlah apabila diberi penghormatan oleh universitinya sebagai pembawa cokmar di majlis konvokesyen mengetuai perarakan pegawai-pegawai utama universiti.

dr syah 3

Muhamad Syahrul Fitri pada mulanya beliau tidak berhajat untuk menghadiri majlis konvokesyen tersebut tetapi kerana peluang yang diberikan apatah lagi pemilihan ini mendapat sokongan daripada panel beliau akhirnya membuat keputusan untuk hadir.

“Pemilihan saya sebagai pembawa cokmar adalah berdasarkan kepada empat aspek yang dinilai oleh pihak universiti iaitu pencapaian akademik, sumbangan kepada universiti kerana  turut terlibat sebagai tenaga pengajar akademik serta sukarelawan untuk hari terbuka universiti, dari aspek kepimpinan dengan  melihat sumbangan kepada komuniti dan terlibat dengan Aman Palestin Australia dan aspek kehidupan peribadi dan sosial kerana sepanjang tempoh pengajian, saya memperolehi keputusan yang cemerlang walau pun saya mempunyai keluarga untuk dijaga dan perbelanjaan harian hanya bergantung kepada tajaan pengajian yang diterima sahaja,” katanya lagi.

thumbnail IMG 0752

Menurut Muhamad Syahrul Fitri, pertama kali memegang cokmar mengetuai perarakan masuk, serta memberikan ucapan mewakili graduan merupakan momen yang tidak mungkin dilupakan kerana tidak menyangka mampu mencapai kejayaan sebegini,” ujarnya mengenang saat manis tersebut. Teks:  Lailatul Hafiza Abdul Rashid /Foto:  Wan Ahmad Nizamuddin Wan Ahmad Sakri

  • Created on .
  • Hits: 2325

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2023