USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KAMPUNG WARISAN MELAYU PULAU PINANG HARUS DIKEKALKAN

IMG 0014ii

USM PULAU PINANG, 4 Mei 2016 - Orang Melayu khususnya di Pulau Pinang diseru supaya bermuafakat dalam mengekalkan kampung-kampung warisan yang sedia ada supaya tidak lenyap ditelan arus pembangunan.

Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Tan Sri Dato' Seri Yusoff Latiff berkata, kepupusan kampung Melayu di Pulau Pinang semakin meningkat sehingga hanya tinggal 20.41 peratus sahaja milik Melayu selebihnya milik bukan Melayu.

Dikatakan tanah milik Melayu di Daerah Timur Laut hanya 1.16 peratus, Balik Pulau 15.07, Seberang Perai Utara 44.20, Seberang Perai Tengah 23.55 peratus dan Seberang Perai Selatan 18.09 peratus. Ini termasuk tanah milik Koperasi Orang Melayu dan tidak termasuk tanah wakaf.

niihj

Menurut Yusoff, peratusan berdasarkan data yang diambil dari hasil kajian USM pada tahun 2008 itu pasti akan lebih mengecil dan menguncup apabila orang Melayu terus menjualnya dan pembangunan yang semakin pesat membangun juga akan turut menyumbang kepada keruntuhan kampung-kampung ini.

"Pembangunan sememangnya tidak dapat dielakkan kerana ia satu tanda kemajuan namun pembangunan haruslah dijalankan dengan sistematik dalam menyelamatkan kampung-kampung Melayu di Pulau Pinang," tambahnya.

Jelasnya lagi, keadaan sedemikian berlaku apabila dasar pembangunan yang tidak terancang dan berat sebelah oleh pemaju dan disokong oleh pemerintah yang menyebabkan tanah-tanah Melayu diambil untuk tujuan pembangunan dengan mudah.

IMG 0004k

"Pada hari ini Kampung Mutiara, Batu Feringgi sedang dalam proses kepupusan yang melibatkan 42 buah rumah dirobohkan dan sebanyak 96 buah keluarga yang terdiri daripada 350 orang penduduk kehilangan tempat tinggal. Kini di Pulau Pinang terdapat lebih 30 buah kampung yang mungkin akan lenyap disebabkan kerakusan pihak pemaju," kata Yusoff.

Kemelut dan nasib penduduk Melayu Pulau Pinang yang terpinggir telah lama disuarakan namun suara itu kini kian lantang disebabkan tindakan kerajaan yang mula mengambil satu demi satu tanah untuk tujuan pembangunan.

IMG 2686m

"Masalah berkaitan tanah Melayu di Pulau Pinang memang rumit untuk diselesaikan kerana melibatkan banyak perkara terutama berkaitan status. Hal ini kerana banyak tanah seperti di Kampung Jalan Pokok Asam, Kampung Tengah, Jelutong dan Kampung Teluk Kumbar akan menjadi milik pemaju disebabkan tanah yang diwarisi daripada nenek moyang telah digadai kepada ceti dan akhirnya ceti pula menjualnya kepada pemaju," katanya dalam ucapan perasmian Forum 'Tradisional Kampung In Penang: The Need for Mindset and Policy Shift" di sini hari ini.

Forum anjuran Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) Universiti Sains Malaysia (USM) ini mengumpulkan para akademia dalam mencari jalan penyelesaian memelihara dan memulihara kampung-kampung warisan di Pulau Pinang dari lenyap sepenuhnya jika tiada sebarang usaha untuk mengekalkan dan memelihara kewujudannya, selain keadaan ini turut menjadikan penduduk yang mewarisi penempatan tinggal dalam keadaan tertekan.

Sementara itu, Pengarah CenPRIS, Profesor Madya Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk berkata, forum yang diadakan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang pentingnya untuk mempertahankan kampung-kampung daripada pelbagai sudut.

 

IMG 2697j

"Perkara yang lebih penting adalah untuk menukar minda kita mengenai kedudukan kampung dalam masyarakat kita. Ini memerlukan kerjasama antara ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan kampung-kampung di Pulau Pinang ini dari terus ditelan arus permodenan," jelasnya.

Tambah Azeem lagi, forum ini juga langkah kedua yang dijalankan selepas CenPRIS telah mengeluarkan kenyataan media pada Mac lepas mengenai kedudukan kampung-kampung di Pulau Pinang.

"Untuk perancangan masa hadapan,pihak CenPRIS dan badan bukan kerajaan di Pulau Pinang akan menubuhkan sebuah pertubuhan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat dalam isu ini selain melihat dari sudut pembangunan yang sedikit sebanyak telah mengugat kesejahteraan hidup masyarakat kampung," katanya lagi.

Yang hadir sama forum ini, Pengasas dan juga Pengarah Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA) yang pertama, Dato' Dr Wazir Jahan Karim, pensyarah kunjungan CenPRIS, Profesor Emeritus Dr Omar Farouk Sheikh Ahmad dan Profesor Emeritus Dato' Hood Salleh. Teks: Syuhada Abd Aziz / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1961

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024