NAIB CANSELOR USM PERKUKUH KOLABORASI DENGAN UNIVERSITI DI REPUBLIK CZECH DAN UK
USM, PULAU PINANG, 3 Mei 2016 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. Omar Osman hari ini memulakan lawatan kerja untuk mengukuhkan kolaborasi dengan universiti-universiti dan institusi pendidikan Republik Czech dan United Kingdom.
Lawatan ini adalah selaras dengan usaha pemerkasaan kolaborasi dan pengantarabangsaan USM dengan memanfaatkan hubungan dan jaringan dengan pelbagai pihak di seluruh dunia.
Beliau yang disertai oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan dan Pengarah Pejabat Kolaborasi Antarabangsa USM Profesor Dr. Lee Keat Teong hari ini mengadakan mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Charles University dan Czech Academy of Sciences.
Turut dikunjungi ialah Technical University of Liberec, University of Pardubice dan Brno University of Technology. Beberapa perjanjian persefahaman kolaborasi akan turut ditandatangani di universiti-universiti berkenaan.
Naib Canselor USM itu juga dijangka akan mengadakan perjumpaan dengan Ketua Eksekutif (CEO) Educational Competencies Consortium (ECC) Ltd. Nicholas Johnston dan Pengarah Education Malaysia UK and Ireland Prof. Madya Dr. Zainal Abidin Sanusi serta mengadakan perbincangan dengan Universiti of Bath dan Imperial College London sebelum berlepas balik ke Pulau Pinang pada minggu hadapan.
Republic Czech memnpunyai seramai 10.5 juta rakyat dengan 28 buah universiti awam dan negeri serta lebih 40 buah universiti swasta mempunyai sejarah pendidikan tinggi yang panjang, dikatakan sejak 1348.
“Sebahagian besar universiti di Republic Czech berfokus kepada pendidikan teknikal dan teknologi berdasarkan R & D dan kini mempunyai kekuatan dalam bidang kejuruteraan dan automotif, industri aeroangkasa, teknologi nano, bio-perubatan, ‘new materials’, ICT dan konservasi tenaga,” kata Duta Republik Czech ke Malaysia Rudolf Hykl ketika kunjungan Rektor Universiti-universiti Republik Czech ke Malaysia termasuk USM pada 19 – 22 Mei 2015.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 943