USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SISWAZAH PERLU MEMPUNYAI ETIKA DIRI YANG TINGGI

IMG 0156g

USM, PULAU PINANG, 30 April 2016 - Siswazah Kehormat Doktor Pengurusan Universiti Sains Malaysia (USM) Tan Sri Azman Hashim menasihatkan siswazah agar sentiasa berpegang kepada nilai etika yang tinggi.

Bercakap ketika memberi Pidato Umum penerimaan ijazah kehormat pada Sidang Pertama Upacara Konvokesyen Ke-53 hari ini, Azman menegaskan, jangan sama sekali mengamalkan budaya rasuah dalam hidup.

Jelasnya, tidak lengkap mereka yang berijazah tanpa mempunyai integriti tinggi dengan sifat serba boleh, personaliti yang seimbang, kejujuran, keadilan, rendah hati  serta memberikan layanan baik dengan rasa hormat dan beretika terhadap keluarga, rakan sekerja dan masyarakat.

IMG 0172k

Pengasas Kumpulan Ambank dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Amcorp itu percaya bahawa nilai dan etika yang baik adalah aspek yang penting yang patut ada pada setiap individu.

“Krisis Kewangan Dunia yang bermula di Wall Street pada 2008 terjadi kerana tindakan pengurus bank yang bijak dan berkelayakan tetapi tidak mempunyai nilai etika yang baik sekaligus menyebabkan masyarakat telah banyak kerugian duit dan sehingga kini memberi impak kepada kewangan dunia,” kata beliau.

Tambah Tan Sri Azman, pembelajaran ialah proses sepanjang hayat walaupun perkara yang telah dipelajari mungkin akan menjadi tidak relevan disebabkan kemajuan teknologi maklumat tetapi ia akan tetap menambah nilai pengetahuan dan kelayakan terhadap diri, keluarga dan negara.

IMG 0305a

IMG 0337g

Pro Canselor USM Tan Sri Mustafa Mansur menyampaikan ijazah kehormat kepada Azman bagi mengiktiraf usaha dan peranannya dalam pembangunan ekonomi negara dan sikap dermawan beliau kepada universiti di negara ini.

Baru-baru ini Yayasan Azman Hashim menyumbang dana RM10 juta untuk pembinaan Azman Hashim-USM Sports Arena dan beberapa sumbangan lain kepada Yayasan USM.

Seramai 1,160 graduan telah menerima ijazah yang  terdiri daripada 260 siswazah Ijazah Kehormat, Ijazah Doktor Falsafah, Doktor Kesihatan Awam, Doktor Pendidikan, Doktor Pentadbiran Perniagaan, 492 graduan Sarjana dan 408 graduan Ijazah Sarjana Muda pada Upacara Konvokesyen USM Ke-53 kali ini.

Teks: Nor Khamisah Saidin (Pelajar Internship USM) / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 943

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024