NC SERU SISWAZAH BERSYUKUR DENGAN KEJAYAAN
USM, PULAU PINANG, 30 April 2016 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Omar Osman hari ini menyeru supaya graduan sentiasa bersyukur dengan kejayaan dicapai kerana ini adalah hasil usaha semua pihak bermula dari ibu bapa dan keluarga hinggalah kepada universiti dan para pensyarah.
"Kejayaan yang dicapai pada hari ini bukanlah mudah, oleh itu sentiasalah bersyukur dengan cara menjadi seorang rakyat dan anggota masyarakat yang dapat memberi faedah kepada orang lain selain sentiasa mengingati Tuhan dan melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang ada dengan penuh dedikasi," tambahnya.
Kata Omar lagi, siswazah hari ini tidak lagi boleh bergantung kepada kerja di dalam sektor awam. Malah peluang kerjaya dalam sektor swasta di dalam negara pun semakin menguncup. Siswazah hari ini perlu keluar dari zon selesa dan mengharapkan apatah lagi bergantung kepada orang lain.
“Kerana itu, Universiti ini sentiasa menekankan kepada pentingnya anak-anak muda kita mencipta peluang baharu dengan ilmu yang ada serta bijak mengambil kesempatan dari setiap peluang yang terbuka luas di mana sahaja. Pendek kata, perlu berjiwa dan bertindak sebagai seorang usahawan yang cekap menganalisis dan mengambil peluang.
"Lihat sahaja tokoh-tokoh yang berjaya hari ini adalah mereka yang berani berhadapan dengan risiko dan keluar dari zon selesa. Mereka melihat bagaimana untuk memanfaatkan setiap ruang dan peluang, melalui kolaborasi dengan orang lain atau dengan cara membangunkan sinergi dan kekuatan bersama. Mereka sanggup bergelumang dengan kesukaran dan kesusahan, kurangkan tidur dan keselesaan diri untuk menapak dan membina langkah baharu," jelas Omar dalam ucapan sidang kedua Upacara Konvokesyen Ke-53 USM di sini, hari ini.
Tambahnya, USM telah pun menyediakan tapak awal untuk pelajar-pelajar mencuba dan melangkah ke alam keusahawanan malah ada yang mampu pula membantu rakan-rakan lain menambah pendapatan dan semangat inilah yang perlu dilihat apabila siswazah meninggalkan kampus nanti.
"Mobiliti sosial berlaku sepanjang masa, bukan perkara baharu dan bukan pula sesuatu yang luar biasa. Yang berbeza ialah keyakinan, kekuatan semangat, keberanian dan strategi yang digunakan. Perlu sentiasa bersikap positif untuk bergerak ke hadapan. Apatah lagi bagi siswazah zaman ini yang dibesar dan dididik oleh teknologi hebat, data-data yang banyak, kemudahan yang pelbagai dan bekalan ilmu pengetahuan yang hebat. Saya percaya para alumni dan siswazah sekalian mampu melakukannya," katanya.
Omar berharap para graduan kembali untuk berbakti kepada sekolah, universiti dan keluarga yang tersayang serta kembali untuk membangunkan dan menyempurnakan amanah yang ada.
"Pesanan saya ialah, jiwa perlu diperkasakan. Kesihatan mental amat penting dan jangan cepat mengambil jalan singkat apabila berhadapan dengan krisis, cabaran mahu pun tekanan hidup. Semua itu adalah sebahagian daripada proses kehidupan yang ada. Dapatkan sokongan keluarga, sahabat dan mereka yang sentiasa mendoakan kita. Tiada jalan singkat untuk berjaya dan tiada juga jalan singkat untuk menghadapi segala karenah yang ada," tambahnya.
Terdahulu beliau turut menganugerahkan ijazah kepada 342 orang graduan sarjana dan 408 graduan Ijazah Sarjana Muda.
Upacara Konvokesyen ke-53 USM menyaksikan penganugerahan ijazah kepada sejumlah 1160 graduan dan jumlah itu termasuk 751 ijazah tinggi dan 408 bagi ijazah sarjana muda.
Teks: Syuhada Abd. Aziz
- Created on .
- Hits: 1169