LIGA IPT 2016 - MINDEN TIGERS SEDIA MENGAUM
USM, PULAU PINANG, 30 April 2016 - Selepas mencipta sejarah layak buat kali pertama beraksi dalam Liga Institut Pengajian Tinggi (IPT) Divisyen 1 pada tahun ini, pasukan bolasepak Universiti Sains Malaysia (USM) atau lebih dikenali sebagai 'Minden Tigers' nekad membuktikan kehadiran mereka bukan sekadar pelengkap pasukan yang bertanding.
Ketua jurulatih, Ahmad Norafandy Yatim optimis pasukan bimbingannya mampu memberi cabaran sengit biarpun sedar pengalaman beraksi di liga tertinggi IPT masih cetek dan 'nampak dasarnya'. "Saya percaya, dengan kekuatan baru yang kita bentuk, hasil gabungan pemain senior dan baharu yang diserap, Minden Tigers mampu mengaum megah."
Walaupun kelibat penyerang dan penjaring terbanyak musim lalu, Hamza Mohamed tidak dapat disaksikan lagi musim ini, Norafandy yakin skuad Minden Tigers mempunyai mesin pencetak gol yang lebih berwibawa.
"Kejayaan USM tahun lepas bergantung pada kerja keras semua pemain, dan atas faktor itu, tidak mustahil jaringan atau lorongan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja."
Pengurus pasukan, Nazru Hj Ismail berkata, Minden Tigers mensasarkan untuk menduduki enam pasukan teratas dan tidak mustahil sasaran itu mampu diraih.
"Sokongan dan kepercayaan penuh yang diberikan Naib Canselor khususnya, serta komitmen Pusat Sukan & Rekreasi USM membantu menyiapkan skuad terbaik, amat dihargai dan kami akan berusaha mengharumkan nama USM kelak."
Skuad Minden Tigers akan memulakan aksi sulungnya pada 1 Mei ini, bertemu Multimedia Universiti (MMU) di tempat lawan, sebelum menanti kunjungan Kolej Komuniti Kedah di Stadium USM pada 7 Mei nanti.
Antara pasukan lain yang bertanding adalah juara bertahan musim lalu UNISZA, UiTM, UiTM Arau, UiTM Pahang, UIAM, UPSI, UM dan Kolej Komuniti Pahang.
Teks: Mohamad Danial Shahri
- Created on .
- Hits: 981