USM-UNTIRTA JALIN HUBUNGAN PERKUKUH PELBAGAI BIDANG
USM, PULAU PINANG, 28 April 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Universitas Sultan Ageng Tirtayasa (UNTIRTA) Indonesia untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pertukaran pelajar.
Rektor UNTIRTA, Profesor Dr. Hj. Sholeh Hidayat berkata, melalui pertukaran pelajar dan juga kakitangan USM ke UNTIRTA akan meningkatkan tahap pertumbuhan ekonomi masyarakat di Daerah Banten melalui inovasi dan juga penyelidikan terutama dalam bidang Kejuruteraan, Ekonomi, Sains Sosial dan Pendidikan.
“UNTIRTA sememangnya pusat pendidikan tinggi dalam bidang Sains, Teknologi dan Budaya telah memilih untuk berkolaborasi dengan USM kerana percaya dengan kemampuan USM yang telah jauh ke hadapan dan bertaraf kelas dunia untuk merealisasikan impian kami untuk menghasilkan pelbagai inovasi dalam bidang yang diingini,” katanya semasa berucap dalam majlis penandatanganan MoA tersebut di Dewan Bankuet USM.
Tambahnya lagi, pihak beliau amat tertarik dengan inovasi yang dijalankan oleh USM dan amat mengalu-alukan kedatangan pelajar, kakitangan USM untuk berkongsi pengalaman, pertukaran bahan kajian, penyelidikan dan juga penerbitan akademik.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata kolaborasi ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada kedua-dua buah institusi tinggi ini melalui pertukaran pelajar dan kakitangan untuk inovasi dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan juga Sains Sosial.
“70% pensyarah USM mahir dalam bidang Sains, Teknologi dan Kejuruteraan, dan USM akan tetap menjadi sebuah institusi yang memfokuskan bidang ini. Saya juga berharap dengan kolaborasi ini akan meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran dalam bidang ini,” jelas Omar.
Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal; Timbalan Rektor Kolaborasi UNTIRTA, Profesor Dr. Ir. Kartina Am; Pengarah Pusat Keantarabangsaan Mobiliti dan Kerjaya (IMCC), Dr. Muhizam Mustafa dan Pengarah Pusat Transformasi Insan (PTi), Dato' Al'-Ustaz Haji Ellias bin Zakaria.
Teks: Aishah Hanis Azmi (Pelajar Internship USM) / Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 796