USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TAN SRI AZMAN HASHIM TERIMA IJAZAH KEHORMAT DOKTOR PENGURUSAN DI KONVOKESYEN KE-53 USM

thumbnail Photo TSAzmanHashim

USM PULAU PINANG, 28 April 2016 – Tokoh Korporat dan Perbankan yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif serta Pengasas Kumpulan AmBank dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Amcorp, Tan Sri Azman Hashim, 76,  akan dianugerahkan  Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan (D.Mgmt) sempena Upacara Konvokesyen ke-53 USM, Sabtu, 30 April 2016 ini di Dewan Tuanku Syed Putra USM Pulau Pinang.

Canselor USM, D.Y.M.M Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail berkenan memberikan penganugerahan ini adalah sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau kepada negara dan sikap dermawan yang membantu universiti selama ini.

Yayasan Azman Hashim telah menyumbang dana pembinaan USM-Azman Hashim Sports Arena dan sumbangan lain untuk pembangunan universiti.

Dalam bidang pendidikan pula, beliau telah memperuntukkan sebanyak RM1 bilion bagi pelbagai yayasan amal bdan setakat ini sumbangan berjumlah beberapa ratus juta Ringgit telah diberikan kepada beberapa institusi pengajian tinggi.

Sementara itu, Tan Sri Azman telah menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh Universiti Utara Malaysia pada tahun 1985, Ijazah Kehormat Kedoktoran Pentadbiran Perniagaan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2004 dan juga merupakan Pro Canselor Universiti Terbuka Malaysia sejak tahun 2005.

Dari segi tanggungjawab sosial dan filantrofi korporat, beliau adalah pemegang amanah kepada Yayasan AmGroup, Yayasan Perdana Leadership , Yayasan Hepar Malaysia , Yayasan Tuanku Najihah dan Yayasan Canselor Universiti Terbuka Malaysia.

Sumbangan dan pencapaian beliau telah diberi pengiktirafan antarabangsa apabila beliau terpilih menerima anugerah ‘Most Outstanding Individual for Contribution to Islamic Finance Award’ di Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur ke-6 (KLIFF) dan juga anugerah “Lifetime Achievement Award” sewaktu Anugerah Tahunan Perniagaan dan Kewangan Islam ke-4, 2009 di Dubai.  Pada tahun 2010, beliau telah dianugerahkan “Lifetime Achievement Award” sewaktu acara Anugerah Tokoh Perniagaan Malaysia ke-2.

Pada bulan April 2016, beliau telah terpilih untuk menerima anugerah “Islamic Finance Pioneering Initiative Award” dari Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) dan juga anugerah “Malaysian Leadership Excellence Awards” dari Institut Pengurusan Malaysia (MIM).

Berkahwin pada tahun 1963 dengan Tunku Arishah Tunku Maamor, mereka telah dikurniakan 5 orang cahaya mata dan 10 orang cucu.

Teks: Syuhada bt Abd Aziz

  • Created on .
  • Hits: 1121

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024