MAHASISWA PERLU UBAH MENTALITI MENGENAI SUKARELAWAN
USM, PULAU PINANG, 28 April 2016 – Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) perlu mengubah mentaliti mereka mengenai sebarang aktiviti kesukarelawanan yang mereka sertai dengan menitikberatkan ilmu dan pengalaman yang diraih berbanding melihat ganjaran MyCSD semata-mata.
Demikian kata Pemenang Tokoh Sukarelawan Terbaik dan Sukarelawan Siswa 2015, Siti Zurianah Ismail dalam forum 'Sekilas Bersama Tokoh Sukarelawan' yang dianjurkan oleh Sekretariat Kampus Sejahtera di sini baru-baru ini.
"Siswa-siswi USM sendiri harus mula mengubah corak pemikiran mereka mengenai apa yang program sukarelawan dapat berikan kepada mereka, sebaliknya melihat manfaat yang dapat mereka ambil darinya.
"Keputusan akademik cemerlang dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.0 kini bukan lagi keutamaan bagi majikan, sebaliknya siswa perlu ada nilai tambah khususnya dalam aspek kepimpinan dan kreativiti yang turut menjadi faktor nilai tambah dalam lapangan kerjaya kelak," jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa aktiviti kesukarelawan ini adalah titik permulaan kepada pelbagai cabang ilmu.
"Saya belajar cara mengambil darah, memeriksa tekanan darah, membuat pintu gerbang setinggi 18 kaki dalam masa empat hari sewaktu di Laos," katanya.
Turut hadir dalam forum ini ialah Pemenang Tokoh Sukarelawan, Nurul Ain Syahirah Rosli yang turut berkongsi pengalaman dengan menyatakan bahawa kesedaran mengenai kelestarian dalam kesukarelawanan penting bagi siswa.
"Melentur buluh harus dari rebungnya. Oleh itu, saya sangat menggalakkan agar setiap siswa menerapkan nilai kelestarian dan kesukarelawanan di dalam diri mereka terlebih dahulu.
"Perkara ini dapat memastikan hasrat USM untuk membentuk budaya lestari dan kesukarelawanan dalam kalangan siswa terlaksana," jelasnya.
Yang turut hadir sebagai moderator bagi forum ini ialah Ahli Parlimen Belia Pulau Pinang, Ahmad Wafi Sahedan.
Teks: Nur 'Izzah 'Atira bt Muhamad Nazmi (Pelajar Internship USM)
- Created on .
- Hits: 1381