USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR BUKAN MELAYU KUASAI 20 TARIAN ZAPIN

12920303 1066505233391372 5228878147496568288 n

USM, PULAU PINANG, 26 April 2016 – Tarian klasik Melayu seperti Zapin masih mengekalkan keistimewaannya yang tersendiri dengan menyajikan pelbagai jenis tarian zapin dan berpeluang untuk ditarikan oleh semua kaum. 

Yang DiPertua (YDP)  Kumpulan Kesenian Adikarma, Universiti Sains Malaysia (USM), Jerry Yacob dari Suku Toraja, Sabah, berkata, walaupun beliau bukan berbangsa Melayu namun sehingga kini beliau telah menguasai kira-kira 20 jenis tarian Zapin.

“Selepas menyertai Adikarma bermula tahun 2013, saya berpeluang belajar pelbagai jenis tarian zapin antaranya Zapin Korez, Zapin Padang Sari, Zapin Pat Lipat, Zapin Selat Panjang Wak Limun, Zapin Parit Mastar dan sebagainya,” jelas beliau yang juga pelajar tahun tiga di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan.

Beliau yang aktif menari sejak umur lapan tahun sangat menyukai seni tarian Melayu kerana ia mempunyai keaslian tersendiri dari gerak tari yang unik dan mempunyai cerita di setiap pergerakan.

Jerry juga berkata, beliau tidak menghadapi kesukaran untuk menghafal pergerakan tarian zapin kerana sudah belajar menari tarian yang terkenal dengan masyarakat Johor itu sejak berumur 13 tahun.

12321250 1066506483391247 4719649867858926608 n

Tambahnya bergelar seorang penari bukan sesuatu yang mudah dan sangat mencabar. Tetapi dalam masa yang sama beliau gembira kerana sentiasa mendapat input baru yang menarik dan menjadikan dirinya menjadi lebih matang.

Sepanjang menyertai kumpulan Adikarma, Jerry turut berpeluang melawat empat buah negara seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam serta memenangi beberapa pertandingan di dalam dan luar negara.

“Saya pernah mewakili USM untuk ASEAN Youth Cultural Forum di Filipina pada tahun 2015 dan memenangi tempat ketiga pertandingan Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) 2015 dan mewakili Zon Utara dalam pertandingan Akar Kita Zapin Peringkat Kebangsaan,” jelas Jerry.

Jerry ketika ditemubual berharap ahli-ahli Kumpulan Kesenian Adikarma terus komited untuk memartabatkan seni budaya Malaysia dan memperjuangkan seni tari tradisional termasuklah tarian Zapin.

Teks: Aishah Hanis Azmi (Pelajar Internship USM) 

  • Created on .
  • Hits: 1483

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024