USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KUALITI PENERBITAN PENTING REALISASIKAN UNIVERSITI GLOBAL

IMG 0099a

USM, PULAU PINANG, 26 April 2016 – Sejajar usaha Universiti Sains Malaysia (USM) dalam merealisasikan Universiti Global melalui Penerbitan Penyelidikan Universiti yang berkualiti dan sistematik, Perpustakaan USM mengambil inisiatif untuk mengadakan Simposium Perpustakaan dan Pusat Pengajian ke Arah Pemerkasaan Penerbitan Universiti.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan Dan Inovasi) USM, Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan berkata, USM sebagai sebuah universiti penyelidikan mempunyai aspirasi tinggi untuk memainkan peranan di persada dunia di samping memastikan sumbangan dan impak di peringkat kebangsaan.

Jelasnya, peranan perpustakaan zaman silam sebagai sebuah gedung ilmu kurang relevan pada masa kini. Teknologi telah membolehkan ilmu  terletak di merata tempat dan bersifat terbuka dan tidak perlu dipusatkan di satu lokasi.

IMG 0081a

“Corak pembelajaran dan pengaksesan maklumat yang bersifat global memerlukan perpustakaan untuk meluaskan peranannya sebagai pusat keilmuan.

“Cabarannya sekarang ialah mentransformasi perpustakaan khususnya dalam menentukan hala tuju dan peranan perpustakaan dalam menangani perubahan senario masa kini dan masa hadapan,” tambahnya lagi ketika menyampaikan ucapan perasmian di sini, semalam.

Di samping itu juga, Muhamad turut menegaskan, aspirasi negara adalah untuk meletakkan beberapa universiti pengajian tinggi di persada dunia sebagai ikon dalam bidang pendidikan dan menjadikan sistem pengajian tinggi kita berada di tahap kelas dunia untuk membolehkan ianya menjadi hab pendidikan serantau.

“Lebih dekat lagi, aspirasi USM untuk menjadi sebuah institusi pengajian tinggi tersohor, setidak-tidaknya di peringkat serantau memerlukan semua warganya termasuk perpustakaan memainkan peranan masing-masing supaya sehaluan dalam mencapai aspirasi ini,” tambahnya.

Sementara itu, menurut Pemangku Ketua Pustakawan, Ali Abd Rahim, simposium ini telah mengumpulkan semua pihak yang terlibat sama ada daripada pihak pengurusan tertinggi perpustakaan dan bahagian penyelidikan USM, pusat pengajian serta pusat kecemerlangan yang pada asasnya memainkan peranan yang amat penting dalam menyokong penerbitan penyelidikan di universiti.

IMG 0102a

“Perpustakaan sentiasa komited dalam menyokong penerbitan penyelidikan di universiti melalui beberapa portfolio antaranya peranan pustakawan perhubungan dalam menyediakan maklumat terkini perkhidmatan dan aktiviti untuk menyokong penyelidikan antaranya pembangunan koleksi, program literasi maklumat dan penyelidikan, taklimat jerayawara dan sebagainya,” katanya lagi.

Tambah Ali lagi, simposium ini turut membawa misi untuk berkongsi ilmu secara terus daripada pihak perpustakaan USM tentang hasil pengumpulan data penerbitan penyelidikan bagi keperluan MyRA II.

“Saya juga berharap simposium ini dapat dimanfaatkan oleh semua peserta  dengan memberi sepenuh komitmen dalam merealisasikan visi dan misi simposium ini. Semoga segala perkongsian ilmu ini dapat diperluaskan kepada semua staf di Pusat Pengajian dan Pusat Kecemerlangan masing-masing,” katanya lagi.

Simposium ini mengumpulkan lebih 50 orang wakil dari pusat pengajian dan pusat kecemerlangan di USM dalam usaha percambahan idea dalam memperkasakan penerbitan USM.

Teks: Syuhada Abd Aziz

  • Created on .
  • Hits: 1318

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024