USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KERJASAMA USM-MITD LANCARKAN MINI-MBA PROGRAMME

IMG 0112g

PULAU PINANG, 26 April 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) berkolaborasi dengan ITD World (MITD Sdn. Bhd.) dalam melancarkan USM Mini-MBA, satu program jangka pendek yang bakal memberi manfaat kepada ahli-ahli perniagaan dan usahawan yang berhasrat menajamkan kemahiran perniagaan dan kepimpinan mereka.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, program ini adalah proses pertukaran maklumat dan perkongsian idea mengenai perniagaan yang akan dilaksanakan secara berterusan. Hal ini bagi menggalakkan perniagaan yang kompetitif dalam kalangan peniaga. Peserta juga akan diberi sijil penyertaan di akhir program kelak.

“USM berbangga kerana dapat bekerjasama dengan MITD yang tergolong sebagai syarikat global yang cemerlang. Ianya selari dengan hasrat USM yang ingin menjadikan kecemerlangan sebagai budaya selaras dengan status APEX universiti,” kata Omar.

IMG 0138f

ITD World terkenal dalam membangunkan pelbagai siri latihan serta pembangunan bakat dan kepimpinan dalam pelbagai sektor dalam dan luar negara diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Peter Chee.

USM Mini-MBA adalah satu program kompak namun komprehensif yang akan memfokuskan kepada teknik-teknik yang diperlukan untuk seseorang membawa perubahan dalam persekitaran perniagaan yang kian mencabar pada masa kini.

IMG 0154l 

Program ini disasarkan kepada usahawan, pemilik perniagaan dan seumpamanya yang mempunyai iltizam tinggi untuk membangunkan pengurusan strategik dan holistik serta meningkatkan kemahiran kepimpinan.

Program Mini-MBA ini akan dikendalikan oleh Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan USM, bersama MITD selama lima minggu bermula Ogos ini.

Dalam pada itu, Peter pula berkata, hanya 30 kekosongan yang ada bagi kemasukan Ogos ini dan permohonan terbuka kepada mereka yang mempunyai ijazah dan berminat dalam bidang perniagaan.

“Sebagai permulaan, kami akan mengadakan satu sesi sahaja bagi program ini selama sebulan pada setiap hujung minggu. Sesi seterusnya akan ditentukan setelah kita melihat hasil daripada sesi pertama ini.

“Melalui program ini juga, kami membantu mereka yang berpotensi dalam perniagaan untuk menajamkan kemahiran pengurusan perniagaan dan penyelesaian masalah,” katanya.

IMG 0196d

Yang turut hadir pada majlis MoA ini adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal; Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey serta pegawai-pegawai kanan universiti dan MITD.

Teks: Nur ‘Izzah ‘Atira bt Muhamad Nazmi (Pelajar Internship USM)

  • Created on .
  • Hits: 1434

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024