USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DUA PENYELIDIK MUDA USM TERIMA GERAN PENYELIDIKAN KANSER MAKNA

13055482 1064378946956471 1480177471826342678 n

PULAU PINANG, 25 April 2016 - Dua orang penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Nor Fazila Che Mat, 34, dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan dan Dr. Neethia Mohana Kumaran, 34, dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat menerima geran penyelidikan ‘MAKNA Cancer Research Award 2015’ dalam satu majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur minggu lalu.

Menurut Dr. Nor Fazila, geran bernilai RM29,835 tersebut ialah untuk menjalankan penyelidikan selama dua tahun bertajuk ‘Therapeutic potential of Oroxylum indicum (beko) leaves extract against E6 and E7 oncogenes expression in human cervical cancer cells’.

Tumpuannya ialah untuk mencari terapi alternatif dalam merawat kanser servik dengan menggunakan ekstrak daun beko atau nama saintifiknya ‘oroxylum indicum’.

Daun dan buah dari pokok beko selalunya dijadikan ulam atau dibuat kerabu terutamanya di Kelantan.

Penyelidilkan tersebut dimulakan pada penghujung 2014 dengan melakukan beberapa ujian awal yang menunjukkan hasil positif.

“Untuk geran ni saya fokuskan kepada HPV-16 yang dikaitkan dengan sel kanser servik memandangkan kebanyakan kes yang dilaporkan di Asia adalah daripada HPV16,” kata Dr. Nor Fazila.

Beliau mempunyai kepakaran pada peringkat Ph.D dalam bidang Immunology & Virology dari Queen's University Ontario dan ijazah Sarjana Bio-Perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ijazah pertama beliau juga adalah dari UKM.

Sementara itu, Dr. Neethia Mohana Kumaran pula mendapat geran penyelidilan kanser MAKNA yang bernilai RM30,000 untuk penyelidikan "Determining the regulation of STAT3 by human papillomavirus strain 16 and 18 in cervical cancer cell lines using the CRISPR/Cas9 system’ untuk tempoh dua tahun.

Minat dan tumpuannya lebih kepada bidang terapeutik kanser dengan usahanya mengkaji penggunaan drug yang dikenali sebagai BH3 mimetics untuk membunuh sel kanser dengan melihat kepada bagaimana tindak balasnya terhadap penggunaan ‘2-dimensional’, ‘3-dimensional spheroid assays’ dan ‘3-dimensional spheroids’.

“Saya sangat teruja dengan geran yang diterima yang telah lama saya harapkannya dan kini ia benar-benar menjadi kenyataan,” kata Dr. Neethia Mohana Kumaran. 

Beliau  mempunyai kelulusan Ph.D dari University of Sydney dalam bidang Perubatan dan Sarjana dari University of Nottingham dalam bidang Onkologi.  Beliau juga adalah alumni USM dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1256

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024