USM JUARAI NATIONAL CLINICAL PHARMACY CHALLENGE
PULAU PINANG, 24 April 2016 – Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF) Universiti Sains Malaysia (USM) cemerlang dengan menjuarai National Clinical Pharmacy Challenge di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.
Kejuaraan tersebut diraih sekumpulan lima pelajar iaitu Ahmad Fahim, Kirthigha Rajendran, Muhd Amin Sanusi, Tan Yi Yen dan Alya Rashidah.
Mereka berjaya menewaskan 16 pasukan dari keseluruhan 12 universiti yang turut menyertai pertandingan tersebut.
Tempat kedua dimenangi oleh International Medical University (IMU) manakala Taylor's University di tempat ketiga.
Dekan PPSF, Profesor Dr. Munawwar Zubaid ketika dihubungi berkata, pihaknya amat berbangga dengan kejayaan yang diraih pelajarnya di pertandingan peringkat kebangsaan itu.
"Kejayaan ini membuktikan pelajar PPSF bukan sekadar menunjukkan kecemerlangan dalam akademik khususnya bidang farmasi klinikal malah turut menunjukkan kemahiran kepimpinan yang tinggi dalam kalangan mereka.
"Seluruh pusat pengajian merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada mereka yang telah mengharumkan nama Universiti dan berharap kejayaan ini akan diteruskan pada masa depan," ujarnya.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1426