MUHAMMAD HAFIZ IKON PEMIMPIN DESASISWA
GAMBANG, PAHANG, 24 April 2016 – Pencapaian cemerlang akademik dan komitmen penuh pelbagai program Desasiswa membuatkan Muhammad Hafiz Abd. Rahman kini dikenali ikon Pemimpin Desasiswa Terbaik 2015.
Hafiz yang giat aktif dalam pelbagai program Desasiswa dan peringkat universiti serta turut menyandang beberapa jawatan tinggi di dalam Desasiswa telah dinobatkan Anugerah Pemimpin Kolej Kediaman Terbaik 2015 yang berlangsung kelmarin di Universiti Malaysia Pahang (UMP), kelmarin.
Hafiz, 24, ketika ditemubual menzahirkan rasa syukur di atas anugerah tersebut selain menyifatkan anugerah ini mampu menjadi pembakar semangatnya untuk terus berbakti kepada pelajar-pelajar yang lain dan amnya kepada komuniti.
“Anugerah yang saya perolehi pada hari ini merupakan inspirasi supaya lebih berjaya pada masa hadapan, kita perlu yakin bahawa setiap usaha mesti ada kejayaan yang akan diperoleh, paling penting terus berusaha demi mencapai wawasan dalam hidup,” katanya.
Dengan kemenangan tersebut, Hafiz berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000, trofi dan juga sijil.
Hafiz, anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang merupakan seorang yang bergiat aktif dalam program keagamaan dan aktiviti sosial di Desasiswa Aman Damai, Universiti Sains Malaysia (USM).
Hafiz kini di tahun akhir jurusan Sarjana Muda Kerja Sosial bergiat aktif dalam program tilawah Al-Quran, debat, pantun dan turut mahir dalam seni khat.
Beliau kini menyandang jawatan sebagai Yang di-Pertua Majlis Penghuni Desasiswa Aman Damai juga merupakan Exco Kebajikan Pelajar (2012-2013), Pembimbing Program Siswa Lestari (2012-2013) dan juga Setiausaha Agung (2013-2014) serta Exco Kebajikan dan Kerohanian (2013-2014).
Hafiz turut merupakan ahli Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) cawangan khas USM, sukarelawan JKM dan USM Buddies International Students (2012-2013).
Hafiz turut menyertai pelbagai program peringkat kebangsaan dan antarabangsa antaranya USM Jazz Band Concert, International Humanitarian Mission in Cambodia, Bakti Siswa Aman Damai di Raub dan Kuala Lipis, Pahang, program-program komuniti, Ahli Jawatankuasa National Research and Innovation Competition (NRIC) dan Integrasi Borneo 3.0 dari tahun 2015 sehingga 2016.
Penyertaan aktif oleh Hafiz sepanjang pengajian membuatkan beliau dipilih menyandang anugerah tersebut berdasarkan kriteria-kriteria yang dimiliki.
"Saya berharap usaha seperti ini dapat juga dilakukan oleh mahasiswa-mahasiswa USM yang lain agar kesinambungan dalam meletakkan pelapis kepimpinan masa hadapan dapat diteruskan demi kepentingan agama, bangsa dan negara," katanya.
Anugerah Tokoh Siswa 2015 diserikan dengan kehadiran Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Ir Dr. Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Dato' Profesor Dr. Asma Ismail.
Teks & Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1069