USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HEBATNYA SITI ZURIANAH WAJAR DICONTOHI

IMG 20160425 WA0014

GAMBANG, PAHANG, 24 April 2016 – Minat yang mendalam dengan aktiviti kesukarelawanan membuatkan anak muda bernama Siti Zurianah Ismail tidak pernah melepaskan peluang menyertai pelbagai aktiviti tersebut sejak menjejak kaki ke Universiti Sains Malaysia (USM).

Zurianah, 24, pelajar jurusan Kewangan Islam, Pusat Pengajian Pengurusan ini cukup sinonim dalam kalangan rakan-rakan pengajian yang sentiasa mencari aktiviti kesukarelawanan anjuran USM kerana sifatnya yang dikenali gemar membantu golongan memerlukan.

Anak kelahiran Labis, Segamat, Johor ini telah mewakili Malaysia sebanyak enam kali program kesukarelawanan peringkat antarabangsa antaranya, Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN Green Summer Volunteerism di Ho Chi Minh Vietnam, Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN ke LAOS, Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN ke Bintulu, Sarawak, Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN ke Kapit, Sarawak, Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN ke Batang Lupar dan Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN ke Pasca Banjir Pahang dan Kelantan.

thumbnail IMG 20160425 WA0016

Ketika ditemubual di majlis Anugerah Tokoh Siswa 2015, Siti Zurianah berkata minatnya dalam bidang ini membuatkan beliau sentiasa mencari-cari dan mengenalpasti program terkini untuk dilibatsama.

"Ia tercetus atas kerelaan diri saya sendiri yang ingin membantu masyarakat luar yang memerlukan dengan sedikit kuderat yang saya miliki, selaras dengan hasrat universiti yang inginkan program komuniti diperkasakan,” katanya.

thumbnail IMG 20160425 WA00155

thumbnail IMG 20160425 WA00111

Anak pertama dari 3 beradik ini menambah, sokongan dari keluarga dan rakan-rakan sepengajian membuatkan dia cenderung untuk menyertai aktiviti tanpa memikirkan penat letih demi yang memerlukan di luar sana.

"Ibu bapa saya banyak menyokong hasrat murni saya ini dan sedikit tidak pernah membangkang asalkan dapat membahagikan masa mengulangkaji pelajaran,” tambahnya lagi.

Pada Anugerah Tokoh Siswa 2015, Siti Zurianah merangkul dua Anugerah Tokoh Siswa 2015 bagi kategori Anugerah  Sukarelawan (Terbuka) Terbaik dan Anugerah Tokoh Sukarelawan Siswa dalam majlis yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan Utama, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang, malam tadi.

"Saya amat bersyukur kerana penglibatan saya dalam aktiviti sukarelawan ini pada awalnya bukanlah untuk kepentingan tertentu, tetapi dengan penghargaan ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk teruskan program-program mendatang," katanya.

thumbnail IMG 20160425

Siti Zurianah membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM2,500 bagi kedua-dua kategori tersebut di samping trofi dan sijil.

Antara lain penglibatan Siti Zunairah di dalam program kesukarelawanan:

- Kelas tuisyen percuma untuk anak-anak kampung di Labis, Segamat, Johor

- 'Road Tour' ke beberapa sekolah menengah dan Pendidikan Tinggi

- Sekretariat Program Kesukarelawanan Balik Pulau yang disertai sejumlah 2,500 peserta dari USM dan Jabatan Kerajaan

- Terlibat sepenuhnya program Baktisiswa Perdana Gunung Bongsu

Beliau juga kini menyandang jawatan sebagai Yang di-Pertua Desasiswa Tekun, Pengerusi Yang di-Pertua 2, Desasiswa USM dan Timbalan Speaker Dewan Perundingan Pelajar, Universiti Sains Malaysia.

Mengakhiri temubual, Siti Zurianah berharap agar pengiktirafan ini menjadi inspirasi kepada  pelajar-pelajar USM untuk terus mengorak langkah dalam menggalas aspirasi universiti dan Kementerian Pendidikan, terutamanya berbakti kepada golongan masyarakat yang terkebawah.

“Saya percaya faktor kemiskinan bukanlah penghalang untuk setiap pelajar mencapai kejayaan. Dengan cita-cita yang tinggi dan azam yang kental, kita juga mampu untuk berbakti kepada masyarakat dan tanahair,” katanya.

Teks & Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 3245

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024