USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR USM RANGKUL EMPAT ANUGERAH TOKOH SISWA

 DSC9597j
 
GAMBANG, PAHANG, 23 April 2016 - Tiga orang pelajar mengharumkan nama Universiti Sains Malaysia (USM) dengan pencapaian cemerlang  dalam Anugerah Tokoh Siswa 2015 (ATS 2015) yang melabuhkan tirainya malam tadi.
 
Siti Zurianah Ismail, 24, merangkul dua anugerah Tokoh Siswa 2015 bagi kategori Anugerah Sukarelawan (Terbuka) Terbaik dan Anugerah Tokoh Sukarelawan Siswa dalam majlis yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan Utama, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang malam tadi.
 
 DSC9524j
 
Siti Zurianah menyifatkan penganugerahan tersebut sebagai anugerah terindah khususnya buat ibu dan ayahnya selain turut terima kasih kepada pihak universiti yang memberi peluang kepadanya untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan sehingga dia dinobatkan penerima anugerah tertinggi dalam kategori kesukarelawan.
 
"Penglibatan saya dalam aktiviti sukarelawan ini pada awalnya bukanlah untuk target memenangi anugerah tetapi apabila diberi penghargaan sebegini, ianya membuatkan saya lebih bersemangat untuk teruskan usaha murni ini," kata anak jati Segamat Johor ini.
 
Siti Zurianah membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM2,500 bagi kedua-dua kategori tersebut di samping trofi dan sijil.
 
“Saya amat bersyukur kerana mendapat pengiktirafan sedemikian yang merupakan anugerah terindah dalam hidup, dan ditujukan khas buat emak dan ayah saya serta sekaligus sebagai hadiah istimewa kepada mahasiswa USM yang menjadi tulang belakang dalam kejayaan ini,” kata pelajar Tahun 4, Ijazah Sarjana Muda Pengurusan ini.
 
Siti Zurianah  berharap agar pengiktirafan ini  menjadi inspirasi kepada  pelajar-pelajar USM untuk terus mengorak langkah dalam menggalas aspirasi universiti dan Kementerian Pendidikan Tinggi, lebih-lebih lagi kepada mereka yang berasal dari golongan yang terkebawah. 
 
“Saya percaya faktor kemiskinan bukanlah penghalang untuk setiap pelajar mencapai kejayaan. Dengan  cita-cita yang tinggi dan azam yang kental, kita juga mampu untuk berbakti kepada masyarakat dan tanahair,” jelasnya yang juga pemegang Biasiswa Diraja Sultan Johor.
 
Beliau turut menyertai pelbagai aktiviti sukarelawan melalui Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) Kementerian Pendidikan Tinggi banyak terlibat dalam misi Sukarelawan YSS ASEAN di Bintulu Sarawak serta di Laos dan Vietnam.
ffnfg
 
ATS 2015  turut menobatkan Yang Dipertua (YDP) Majlis  Penghuni Desasiswa Aman Damai, Muhammad Hafiz Abd. Rahman, 24, penerima bagi kategori Anugerah Pemimpin Kolej Kediaman Terbaik 2015.
 
Muhammad Hafiz menzahirkan rasa syukur di atas anugerah tersebut selain menyifatkan anugerah ini mampu menjadi pembakar semangatnya untuk terus berbakti kepada kepada pelajar-pelajar yang lain dan amnya kepada komuniti.
 
“Anugerah yang saya perolehi pada hari ini merupakan inspirasi supaya lebih berjaya pada masa hadapan, kita perlu yakin bahawa, setiap usaha mesti ada kejayaan yang akan diperoleh, paling penting terus berusaha demi mencapai wawasan dalam hidup,” katanya
 
Dengan kemenangan tersebut, Muhamad Hafiz membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000, trofi dan juga sijil.
 
 DSC9482d
 
USM juga terus cemerlang dalam menghasilkan para pelajar yang holistik apabila seorang lagi pelajar, Nurul Ain Syahirah rosli, 23 turut merangkul Anugerah Sukarelawan Alam Sekitar Terbaik 2015.
 
Bagi Pelajar tahun tiga Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan itu, anugerah ini merupakan anugerah terindah dalam hidupnya dan dan merupakan kejayaan kepada semua khususnya Kampus Sejahtera dan USM.
 
"Kejayaan yang saya perolehi ini merupakan hasil kerjasama rakan sepasukan khususnya Sekretariat Kampus Sejahtera yang merupakan tulang belakang pencapaian saya pada hari ini," jelasnya lagi.
 
ATS 2015 mengiktiraf dan memberi galakan kepada mahasiswa yang telah banyak berusaha untuk menjadi modal insan yang holistik dan kompeten selari dengan kehendak ekonomi serta pembangunan masa kini.
 
Sebanyak 19 anugerah telah dipertandingkan iaitu sembilan anugerah untuk kategori Kepimpinan, tujuh Anugerah untuk kategori Kesukarelawanan, satu Anugerah Tokoh Kepimpinan Siswa, satu Anugerah Tokoh Sukarelawan Siswa dan Anugerah Utama (Anugerah Menteri Pendidikan 2015) dan Penghargaan Khas oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT) kepada 9 penerima.
 
Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal dan Alumni (BHEPA), Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein mengucapkan tahniah kepada ketiga-tiga pemenang yang telah mengharumkan nama USM di peringkat yang lebih tinggi dan berharap dengan pencapaian ini mampu memberi sumber Inspirasi kepada mereka untuk terus berbakti kepada Universiti.
 
“Sememangnya pihak BHEPA sentiasa menyokong penuh aktiviti-aktiviti para pelajar dalam memacu kelestarian universiti kita dan akan terus menjayakan matlamat USM dalam melahirkan lebih ramai lagi graduan yang holistik di masa hadapan," tambahnya lagi.
 
Yang hadir menyampaikan anugerah-anugerah tersebut ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Dato' Seri Ir Dr Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Dato' Profesor Dr. Asma Ismail.
 
Teks : Syuhada Abd Aziz
Foto : Mohd Azrul Mohd Azhar
  • Created on .
  • Hits: 1431

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024