MENTERI PENDIDIKAN TINGGI SERU MAHASISWA TERUS MENJADI IKON MASYARAKAT
GAMBANG, PAHANG, 23 April 2016 – Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh menyeru supaya mahasiswa yang dinobatkan sebagai tokoh siswa terus menjadi ikon dan duta kecil kepada semua lapisan masyarakat dari peringkat sekolah sehinggalah peringkat antarabangsa.
Idris berkata kadar keterlibatan Tokoh Siswa dalam sesuatu program turut diukur dengan tahap impak pelaksanaan program atau sumbangan mereka terhadap masyarakat.
“Saya difahamkan pemilihan anugerah ini telah dilaksanakan dengan teliti menggunakan penanda aras yang tinggi di mana mereka perlulah memperolehi sekurang-kurangnya CGPA 3.0 dan perlu mempunyai keperibadian dan sahsiah diri yang tinggi," jelasnya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2015 (ATS 2015) di Dewan Kompleks Sukan Utama, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang, di sini malam tadi.
Tambahnya lagi, syarat yang diletakkan sedemikian adalah untuk memastikan tokoh yang dipilih pada hari ini adalah seorang tokoh yang mempunyai ciri-ciri personaliti unggul (towering personality) mewakili Institut Pengajian Tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
"Ini adalah kerana melalui program-program kepimpinan dan kesukarelawanan yang dilaksanakan oleh mahasiswa berupaya meningkatkan pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran bahasa, kemahiran dalam kepimpinan, etika dan rohani serta meningkatkan tahap integrasi dan perpaduan nasional," kata beliau mengenai penganjuran ATS 2015 buat kali ketiga.
ATS 2015 merupakan anugerah yang dapat mengiktiraf dan memberi galakan kepada mahasiswa yang telah banyak berusaha untuk menjadi modal insan yang holistik dan kompeten selari dengan kehendak ekonomi serta pembangunan masa kini.
Sebanyak 19 anugerah telah dipertandingkan iaitu sembilan anugerah untuk kategori Kepimpinan, tujuh Anugerah untuk kategori Kesukarelawanan, satu Anugerah Tokoh Kepimpinan Siswa, satu Anugerah Tokoh Sukarelawan Siswa dan Anugerah Utama (Augerah Menteri Pendidikan 2015) dan Penghargaan Khas oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT) kepada 9 penerima.
Idris turut menegaskan selaras dengan lonjakan 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 -2025 (Pendidikan Tinggi) menghasilkan graduan holistik berciri usahawan dan seimbang merupakan salah satu objektif utama kementerian bahawa kurikulum yang ditambah baik, kerjasama industri yang dikembangkan dan program pembelajaran melalui pengalaman beserta kerangka penilaian bersepadu baharu yang melihat ke arah pembangunan holistik.
“Program kepimpinan dan kesukarelawan seperti program 1 Malaysia for Youth (1M4U), Sukarelawan Siswa, dan University Community Engagement (UCE) adalah contoh program yang berupaya meningkatkan kompetensi diri mahasiswa supaya dapat bersaing dalam dunia pekerjaan," jelasnya lagi.
Idris berharap dengan adanya pengiktirafan yang tinggi seumpama ini, mahasiswa dapat merebut peluang, menggunakan tempoh masa berasa di universiti sebaik mungkin untuk melakukan yang terbaik dan terus mempelbagaikan platform dalam memberi sumbangan secara proaktif kepada masyarakat.
"Berikanlah sumbangan optimum dalam pelbagai aktiviti ko-kurikulum dan pada masa yang sama meneruskan pencapaian cemerlang dalam bidang akademik," tambah Idris yang menyampaikan tiga anugerah utama iaitu Anugerah Tokoh Kepimpinan, Kesukarelawanan dan juga Anugerah Menteri Pendidikan.
Yang hadir sama dalam majlis ini ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Dato' Profesor Dr. Asma Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Ir Dr. Zaini Ujang, serta Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal dan Alumni (BHEPA), Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein.
Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Mohd. Azrul Mohd. Azhar
- Created on .
- Hits: 937