NAIB CANSELOR UCAP TAHNIAH KEJAYAAN ANUGERAH TOKOH SISWA
PULAU PINANG, 24 April 2016 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Omar Osman berbangga dengan kejayaan yang dicapai dan mengucapkan tahniah kepada pelajar yang memenangi anugerah-anugerah dalam Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2015 yang berlangsung di Universiti Malaysia Pahang (UMP) malam tadi.
"USM amat berbangga dengan kejayaan ini dan saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan mereka yang terlibat," kata Omar.
Menurutnya lagi, kejayaan ini membuktikan bahawa usaha USM dalam membangunkan bakat pelajar telah menunjukkan hasil yang membanggakan melalui komitmen dan kerja keras semua yang terlibat.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein dan seluruh tenaga kerja HEPA termasuk di desasiswa yang bekerja keras dan komited sehingga membuahkan kejayaan seperti ini," kata Omar.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang cemerlang dalam menggalas tanggungjawab sebagai tuan rumah majlis penganugerahan ini setelah USM menjadi tuan rumah yang pertama sebelum ini.
Dalam majlis yang dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Idris Jusoh tersebut, USM menggondol empat anugerah termasuk Anugerah Sukarelawan (Terbuka) terbaik 2015 dan anugerah Tokoh Sukarelawan Siswa yang dimenangi oleh Siti Zurianah binti Ismail.
USM turut dinobatkan Anugerah Sukarelawan Alam Sekitar Terbaik Kategori Kesukarelawanan melalui Nurulain Syahirah binti Rosli dan Anugerah Pemimpin Kolej Kediaman dalam Kategori Kepimpinan melalui Muhammad Hafiz bin Abdul Rahman.
Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 815