USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MENDEPANI KELESTARIAN: PANDANGAN MANTAN PAKAR KELESTARIAN USM-CGSS

USM, PULAU PINANG, 20 April 2016 - Setelah berkhidmat di Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) Universiti Sains Malaysia (USM) selama tujuh tahun, kini tiba masa untuk Profesor Dr. Kanayathu Chacko Koshy, 68, untuk mengucapkan selamat tinggal kepada jawatan yang telah disandangnya yang berperanan membantu USM untuk diiktiraf sebagai pemain utama dalam bidang berkaitan dengan isu kelestarian melalui pendekatan pendidikan.

Dengan pengalaman luas beliau dalam bidang akademik dan pelbagai pengetahuan dari pengalaman sebelumnya di State University of New York (SUNY), University of the West Indies dan University of the South Pacific, beliau adalah sebahagian daripada pasukan yang menghasilkan Sustainability Fact Sheet dan Sustainability Roadmap, polisi USM mengenai kelestarian serta pelbagai penerbitan terkini yang lain, untuk menyerlahkan dan memberikan pemahaman lebih jelas mengenai konsep kelestarian dari perspektif USM.

Beliau terlibat dalam pelbagai aspek mempromosikan amalan lestari di dalam dan di luar kampus seperti melakukan penyelidikan kelestarian berasaskan komuniti, menjadi sebahagian daripada rangkaian antarabangsa dalam program pengajaran siswazah, menjalankan latihan kelestarian, menawarkan perkhidmatan perundingan, terlibat dalam rangkaian global dan dalam aktiviti 'pemikir' kepada pembangunan model dan amalan kelestarian.

Dalam satu temubual di pejabatnya di CGSS, beliau berkata, dia tertarik untuk datang ke USM kerana konsep pembangunan kelestarian yang diketengahkan USM berlainan dari yang lain.

"USM mempunyai pendekatan yang bersepadu dan menyeluruh. Ia adalah untuk keseimbangan antara memberi tumpuan kepada 'kelestarian dalaman' dan 'kelestarian global', yang tidak banyak diberi tumpuan oleh universiti lain pada masa kini," katanya.

Tambahnya lagi, perlu ada keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan bagaimana ia memberi kesan kepada masyarakat dan persekitaran. Keseimbangan ini boleh dicapai apabila manusia dapat mengekalkan kestabilan perhubungan dengan kehidupan mereka yang dikelilingi persekitaran.

"Manusia perlu sedar akan had mereka dan akibat daripada tindakan mereka yang akan memberi kesan jangka panjang pada generasi akan datang," tegas Koshy.

Apabila USM telah dianugerahkan status APEX oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (MOHE) pada September 2008, ia adalah atas dasar 'mentransformasikan pengajian tinggi untuk kelestarian hari esok’.

Koshy berkata, ia kemudian menjadi satu keperluan bagi USM untuk mengintegrasikan elemen-elemen kelestarian dalam aktiviti berlandaskan pengajaran/penyelidikan/komuniti, iaitu idea untuk dikongsi dan disebarkan secara meluas.

Menurut Koshy, pada masa yang sama terdapat juga keperluan untuk memantau jumlah kandungan berkaitan dengan kelestarian yang telah diintegrasikan ke dalam aktiviti-aktiviti ini. Oleh itu, Metodologi Penilaian Kelestarian (SAM) wujud dan dibuat lebih mudah melalui pengkomputeran bagi pemantauan ini.

Beliau juga menyebut bagaimana USM mempromosikan idea kelestarian. Satu cara lain beliau berkata, kini terdapat lebih banyak aktiviti yang mempunyai unsur-unsur kelestarian yang diterapkan.

"Pusat Kepakaran Serantau Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (RCE-ESD) Pulau Pinang, 'Universiti Dalam Taman', 'Kampus Sejahtera' dan 'Program Siswa Lestari' adalah beberapa aktiviti yang berunsur kelestarian di dalamnya," jelas Koshy.

"Terdapat dua cara untuk meningkatkan pemahaman yang lebih baik berkaitan idea kelestarian kepada generasi muda iaitu kaedah formal dan kaedah tidak formal," kata Koshy lagi.

Kaedah formal boleh dilakukan melalui sesi pembelajaran terancang, yang boleh digunakan untuk menyesuaikan pandangan dan pemahaman mereka. 'Pembelajaran melalui pengalaman' adalah apa yang Koshy nyatakan sebagai contoh.

'White Coffin food packaging' juga adalah suatu inisiatif yang baik. Universiti ini kemudian boleh memantau dan memastikan bahawa unsur-unsur kelestarian akan diterapkan dengan cara yang sepatutnya.

Beliau berkata, apabila ia berkaitan dengan isu kelestarian, kita tidak harus mempunyai pendirian yang neutral; kita sama ada menyokong atau mambantah.

“USM boleh terus memimpin dalam isu-isu kelestarian dengan mempunyai elemen tepat yang dimasukkan ke dalam semua aktivitinya, dan juga dalam melaksanakan semua program yang berkaitan," katanya.

Di akhir temu bual itu, Koshy berharap untuk kembali ke tempat kelahirannya di Kerala, di selatan India di mana beliau akan terus bergiat dalam bidang pengurusan, latihan atau pendidikan, dan mungkin juga untuk mencari masa bermain bola sepak dan tenis, kedua-dua sukan yang beliau minati.

Koshy telah berkhidmat sebagai Profesor Kunjungan di CGSS USM bermula dari 23 Mac 2009 hingga 22 Mac 2016.

Universiti amat bersyukur dengan segala sumbangan berharga beliau dan mendoakan yang terbaik untuk masa hadapannya.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah & Mazlan Hanafi Basharudin

Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 1803

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024