PELAJAR ANTARABANGSA SAMBUT BAIK FUSE 2016
USM, PULAU PINANG, 19 April 2016 – Penganjuran ‘FUSE Interaction Night’ oleh Pusat Keantarabangsaan Mobiliti dan Kerjaya (IMCC) menerima sambutan yang baik khususnya daripada pelajar antarabangsa.
Rata-rata pengunjung yang ditemui memberikan maklum balas yang positif terhadap penganjuran program yang buat julung kali diadakan oleh pihak IMCC USM.
Bagi pelajar antarabangsa, Edouard Fabri, 20, dari Belgium merasakan program ini dapat membuatkan dia lebih mengenali budaya tempatan selain dapat berkenalan dengan pelajar tempatan dan antarabangsa dari negara lain.
"Saya menyambung pelajaran di USM selepas mengetahui ramai rakan-rakan senegara melanjutkan pelajaran di USM kerana persekitarannya yang kondusif serta banyak tempat-tempat menarik boleh dilawati di Pulau Pinang. Makanan yang menarik dan masyarakat tempatan yang baik juga salah satu faktor saya menyambung pelajaran di USM," katanya yang kini berada di tahun tiga bidang Pengurusan.
Perkara yang sama dikongsi oleh pelajar dari Indonesia, Bella Adi Wijaya, yang menyatakan ini adalah satu acara yang menarik dan merupakan program yang memberi peluang kepada mereka untuk bertemu pelajar dari negara yang berbeza.
"Saya berminat untuk ke USM setelah mengetahui bahawa USM merupakan antara universiti yang terbaik di Malaysia," tambahnya lagi.
Fuse Interaction Night ini adalah salah satu usaha IMCC sebagai pusat keantarabangsaan untuk memastikan pelajar-pelajar antarabangsa dan pelajar tempatan di USM sendiri mempunyai pengalaman belajar di USM dan dapat mengenali budaya antara satu sama lain.
Pelbagai aktiviti dijalankan untuk menarik minat pelajar antaranya gerai jualan yang menjual makanan dari pelbagai negara, selain pihak penganjur juga menyediakan tempat untuk pengunjung bersantai di unggun api sambil menonton persembahan kebudayaan daripada pelajar antarabangsa dan tempatan.
Fuse Night Interaction turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein.
Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Muhammad Firdaus Khiruddin
- Created on .
- Hits: 916