DUA PELAJAR USM RANGKUL TIGA ANUGERAH DI i-ENVEX 2016
KANGAR, 19 April 2016 – Dengan kos RM10.00, projek penyelidikan dua orang pelajar Pusat Pengajian Sains Kimia Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya memenangi tiga anugerah di Pameran Reka Cipta Antarabangsa (i-ENVEX) 2016 yang diadakan baru-baru ini.
Projek penyelidikan ‘Removal of Organic Dyes By Light Driven NR-AG System’ menerima Anugerah Khas Penghormatan Juri melalui Kreativiti Cemerlang dan Inovasi, ‘Leading Innovation Award’ dan seterusnya merangkul emas pada pertandingan itu.
Nik Nur Ayuni Ardila Nik Azhar dan Nurul Izzani Faatihah Jamil, pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Kimia Industri tahun akhir berkata, mereka tidak menyangka berjaya merangkul tiga anugerah pada pertandingan antarabangsa ini.
“Kami amat gembira dan terharu dengan kejayaan ini apatah lagi ia membawa nama Universiti Sains Malaysia (USM) ke pentas antarabangsa sekaligus meraih anugerah tertinggi ini,” katanya lagi.
Nik Nur Ayuni berasal dari Sungai Buloh, Selangor itu menjelaskan bahawa projek penyelidikan yang dilakukan bersama rakannya itu beroperasi sebagai agen pembersih kepada kilang-kilang yang banyak menggunakan bahan pewarna yang dilepaskan di sungai-sungai, laut dan sebagainya.
“Secara umumnya, alat yang digunakan hanyalah getah, PVT (NR-AG Membran), silver dan cahaya matahari. Kajian ini membuktikan ia mampu menapiskan warna-warna tersebut sebelum dilepaskan ke sungai oleh kilang.
“Kami turut mengkaji bahan-bahan lain untuk penyelidikan ini, tetapi bahan tersebut amat efektif, murah dan keberkesanannya amat tinggi dalam menapis bahan berwarna dan beracun yang mampu merosakkan alam sekitar dan habitat di sungai dan lautan,” tambahnya.
Jelas Nik Nur Ayuni, 22, faktor pemilihan getah dalam penyelidikan ini kerana getah merupakan hasil utama negara dan mudah diperolehi di samping lebih murah jika dibandingkan dengan bahan-bahan lain.
Pertandingan ini disertai oleh lebih daripada 400 penyertaan dalam dan luar negara dunia seperti Indonesia, Kemboja, Romania, Korea, Taiwan, India, Egypt, Croatia, Iraq, Filipina dan lain-lain.
Nurul Izzani Faatihah, 22, pula berterima kasih kepada pensyarah yang juga penyelia projek ini yang banyak memberi tunjuk ajar dan panduan sehingga berjaya merangkul kejayaan di peringkat kebangsaan.
“Dr. Noor Hana Hanif Abu Bakar, Dr. Tan Wei Ling dan Prof. Dr. Mohamad Abu Bakar merupakan tulang belakang kami berdua yang sentiasa tidak jemu memberi panduan sepanjang proses penyelidikan sehinggalah ke waktu pertandingan,” tambahnya.
Mereka berhasrat untuk terus berusaha bagi meningkatkan mutu penyelidikan pada pertandingan-pertandingan seperti ini untuk mengharumkan nama universiti.
Yang berangkat merasmikan dan menyampaikan hadiah pertandingan tersebut ialah D.Y.T.M., Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
i-ENVEX 2016 dianjurkan oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bersama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Malaysian Invention & Design Society (MINDS), Malaysian Research & Innovation Society (Myris) ENVEX Young Researcher Club (EYReC), World Invention Intellectual Property Associations (WIIPA) dan International Federation of Inventors Associations (IFIA).
Teks: Mohd. Azrul Mohd. Azhar
- Created on .
- Hits: 2136