USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ANAK PERAK DIRAI, SULTAN PERAK PERKENAN SAMPAIKAN SIJIL KECEMERLANGAN

thumbnail IMG 20160420 WA0036

PULAU PINANG, 19 Apr.2016 – Kira-kira 200 anak-anak dan kakitangan Universiti Sains Malaysia (USM) yang berasal dari negeri Perak diraikan dalam Majlis Santapan Malam bersama Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar baru-baru ini.

Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat meraikan tetamu istana pada malam tersebut.

Lebih menarik, lima pelajar cemerlang bagi setiap tahun pengajian di USM terpilih menerima sijil kecemerlangan dari Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak dalam majlis dwi-tahunan anjuran Kumpulan Siswa Siswi Darul Ridzuan (KUSISDARI) USM itu.

thumbnail IMG 20160420 WA0037

Turut menerima penghargaan adalah barisan kepimpinan tertinggi KUSISDARI, yang diketuai penasihatnya, Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal berkata, program ini satu adalah tradisi yang menjadi jambatan kukuh antara rakyat dengan Raja yang dikasihi.

“Patik sekalian tentunya amat berbangga atas perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku beramah mesra dengan siswa dan siswi sekalian.

“Sesungguhnya keberangkatan Duli-Duli Tuanku memberikan semangat kepada seluruh warga USM dalam usaha meningkatkan kecemerlangan dan pencapaian dalam semua bidang,” katanya.

thumbnail IMG 20160420 WA0035

Tambah beliau, USM berusaha gigih untuk menjadi sebuah Universiti Global yang memenuhi ciri-cirinya dalam menghadapi persaingan dan cabaran masa hadapan.

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Diraja Dr.Zambry Abdul Kadir  turut hadir ke majlis tersebut dan turut menzahirkan rasa kagum dengan keprihatinan Seri Paduka Sultan Perak melapangkan masa meraikan anak-anak Perak USM.

“Sesunggunnya sebagai anak Perak kita wajar berbangga kerana berada di bawah naungan Raja yang mempunyai kredibiliti dan kecemerlangan yang tinggi dalam bidang akademik.

“Ia seharusnya dijadikan contoh untuk kita sama-sama memajukan diri menuntut ilmu dan kembali menyumbang untuk pembangunan dan ekonomi yang mapan di negeri Perak,” katanya.

 

Teks: Marziana Mohamed Alias

Foto: Dzulfikar Azmi Muhammad Aripin@Isa

  • Created on .
  • Hits: 1054

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024