HASIL PENYELIDIKAN USM DALAM JURNAL BERIMPAK FAKTOR - LETAK NAMA DI PERSADA DUNIA
USM, PULAU PINANG, 20 April 2016 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Omar Osman gembira dengan pencapaian dua pensyarah yang berjaya menerbitkan hasil penyelidikan dalam jurnal berimpak faktor tinggi iaitu Lancet Journal dan Nature Genetics Journal baru-baru ini.
"Kita berbangga dengan pencapaian ini dan akan terus berusaha mendorong lebih ramai penyelidik dan ahli akademik USM berusaha berbuat demikian," kata Omar.
Tambahnya, ini adalah pencapaian penting dalam meningkatkan kolaborasi dalam kalangan para pensyarah, ahli akademik dan penyelidik tempatan untuk terlibat dengan penyelidikan-penyelidikan utama dalam pelbagai disiplin ilmu bertaraf dunia.
"USM sentiasa menyokong dan berusaha mendorong usahasama dan kolaborasi seperti ini apatah lagi yang dapat memberi impak yang tinggi kepada kedudukan akademik universiti serta sebagai sumbangan kepada masyarakat dan negara dalam bidang-bidang kekuatan kita," tambah Omar.
Kedua-dua penyelidik berkenaan mencapai satu pencapaian yang tinggi dalam mengharumkan nama universiti. Mereka ialah Profesor Madya Dr. Kamarul Imran Musa dari Jabatan Komuniti Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan dan Profesor Madya Dr. Liza Sharmini Ahmad Tajudin dari Jabatan Ofthalmology.
Dr. Kamarul Imran Musa menerbitkan hasil kajiannya dalam Lancet Journal (Impact Factor/IF: 45.217) manakala Dr. Liza Sharmini dalam Nature Genetics Journal (Impact Factor/IF: 29.35) bersama dua penulis daripada Pasukan Penyelidik Glaukoma USM.
Menjelaskan hal ini, Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan Profesor Dr. Ahmad Sukari Halim berkata, kedua-dua penyelidik melakukan usaha penyelidikan dengan berkolaborasi dengan pelbagai pihak dalam isu penjagaan kesihatan global dan kesejahteraan yang memberi impak besar kepada penduduk Malaysia.
"Dalam usaha penyelidikan tentang NCD Risk Factor Collaboration (NCD RisC), Dr. Kamarul Imran bekerjasama dengan Profesor Dr. Majid Ezzati dari WHO Collaborating Centre on NCD Surveillance and Epidemiology Imperial College London (ICL) dengan rakan-rakan lain termasuk di Kementerian Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Teknologi MARA.
"Penyelidikan mereka melihat kepada peningkatan kes obesiti seluruh dunia dengan bilangan yang mempunyai berat badan berlebihan menunjukkan bilangan yang lebih besar berbanding dengan yang sebaliknya melibatkan sejumlah 640 juta penduduk berdasarkan indeks BMI mereka. Pada tahun 2014, lebih dari seorang dari 10 laki-laki dan seorang dari 7 wanita mengalami obesiti. Menjelang 2025 lebih ramai laki-laki (18%) dan wanita (21%) akan mengalami obesiti seluruh dunia yang jika tidak diteliti dan dasar-dasar yang berkaitan gagal dilaksanakan," jelas Ahmad Sukari.
Dr. Kamarul Imran berperanan sebagai ahli statistik dan juga menganalisis semula data, menyediakan hasil dan manuskrip untuk kumpulan penyelidikan ini.
Sementara itu, Dr. Liza Sharmini terlibat dalam kolaborasi penyelidikan bersama-sama Profesor Aung Tin yang merupakan alumni University College London (UCL). Penyelidikannya tertumpu kepada faktor genetik sebagai punca glaukoma atau Primary Angle Closure Glaucoma (PACG) yang mengambil kajian pertubuhan genom (genome-wide association study atau GWAS) menggunakan geran Universiti Penyelidikan USM (RU USM) dalam menangani isu-isu yang berkaitan glaukoma.
Rakan penyelidiknya termasuklah mereka dari Kementerian Kesihatan, Universiti Malaya dan Pusat Kepakaran Mata Antarabangsa atau International Eye Specialist Centre. Dr. Aung Tin juga terlibat dalam kajian tentang mata dalam kalangan orang-orang Melayu Singapura atau dikenali sebagai Singapore Malay Eye Study (SIMES) yang mengumpulkan 3,500 DNA.
Menurut Ahmad Sukari, penyelidikan ini melihat kepada sampel penyakit pesakit untuk memahami masalah PACG yang menjadi punca menyebabkan seseorang itu menjadi buta di seluruh dunia dan kemungkinan membangunkan drug baharu yang lebih sesuai dengan genetik seseorang.
"Penyelidikan ini disokong melalui dua geran RU USM bersama-sama Singapore Eye Research Institute (SERI) sebagai institusi utama dengan peruntukan USD5 juta dalam tempoh 5 tahun di bawah pengawasan Majlis Penyelidikan Perubatan Nasional Kementerian Kesihatan Singapura di bawah Penyelidikan Translational STaR Investigator Research Award dan A-STAR," tambah Ahmad Sukari.
Institusi lain yang terlibat ialah Beijing Institute of Ophthalmology, Centre for Vision Research, Sydney dan Institute of Ophthalmology, UCL, UK. Penyelidikan ini melibatkan seorang calon Doktor Falsafah (Ph.D), 3 orang calon Sarjana Sains melalui penyelidikan dan 6 orang calon Sarjana Perubatan (MMed).
Profesor Madya Dr. Kamarul Imran dengan latar belakang Statistik Perubatan mengikuti pengajiannya di Lancaster University manakala Profesor Dr Liza Sharmini berpengkhususan dalam ophthalmology, dengan mendapat Ph.D dari UCL.
"Adalah diharapkan agar penyelidikan-penyelidikan seperti ini akan membuahkan hasil dengan menyediakan penyelesaian kepada masalah kesihatan dalam masyarakat dan pada masa yang sama membolehkan penghasilan penerbitan jurnal yang mempunyai faktor impak yang tinggi melalui usaha kolaborasi melalui bantuan dana dan lain-lainnya untuk Pusat Pengajian Sains Perubatan USM terlibat dengan lebih banyak pasukan penyelidik berkelas dunia pada masa hadapan," kata Ahmad Sukari.
Terjemahan: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1161