CAR BOOT SALE 2.0 TONJOL NILAI KEUSAHAWANAN MAHASISWA USM
USM PULAU PINANG, 20 April 2016 - Penganjuran Car Boot Sale 2.0 anjuran Unit Kebudayaan dan Kesukarelawanan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) Universiti Sains Malaysia (USM) terus mendapat sambutan apabila Kompleks Cahaya (KOMCA) yang menjadi lokasi program dipenuhi lebih 500 orang pengunjung dalam kalangan pelajar.
Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman yang hadir ke program ini berkata, penganjuran program sebegini amatlah baik untuk para pelajar USM dari aspek pembangunan keusahawanan dalam kalangan pelajar.
Tambah Omar, penggunaan ruang KOMCA yan strategik untuk program seperti ini amatlah dialu-alukan kerana ruang ini disediakan untuk para pelajar melaksanakan aktiviti-aktiviti seumpamanya di setiap waktu apabila diperlukan.
Omar juga berharap agar program sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan dan ianya akan terus disokong oleh pihak universiti.
Sementara itu, menurut salah seorang peniaga yang menyertai Car Boot Sale, Noorul Linda Suraya Mustahil, program sebegini adalah salah satu platform yang baik untuk pelajar untuk mengetengahkan bakat keusahawanan dalam diri masing-masing.
"Saya sememangnya berminat dengan perniagaan dan mula menceburkan diri dalam bidang ini sejak tahun 2009 dengan menjual tudung dan pakaian wanita di tapak konvo," jelas pelajar Ijazah Sarjana Kedoktoran Teknologi Industri ini.
Memiliki perniagaan atas talian “Hertaste Closet”, Noorul bercita-cita untuk menjadi pensyarah dan mempunyai sebuah butik sendiri kelak.
Bagi pelajar tahun akhir Sains Kemasyarakatan, Musfirah Mustajab pula, menyertai program penjualan sebegini buat pertama kalinya amatlah bermakna kerana beliau meminati perniagaan sejak dari kecil.
"Selain minat yang mendalam, saya menceburi bidang ini untuk menampung perbelanjaan seharian di universiti," katanya.
Aktif dengan mempromosikan barangannya di laman sosial Instagram, Musfirah berhasrat untuk menjadi seorang usahawan sepenuh masa dengan menjual produk berasaskan pakaian, aksesori wanita dan pakaian bayi kelak.
Hampir 30 kedai yang berkonsepkan car boot sale dan juga seumpamanya terlibat dalam penjualan barang-barang seperti pakaian, makanan, minuman, aksesori dan lain-lain lagi.
Turut hadir ke program ini adalah Pengarah Pusat Media dan Perhubungan Awam USM Mohamad Abdullah, Pegawai Kebudayaan Kanan Unit Kebudayaan dan Kesukarelawanan BHEPA Zulkifli Che Hussin dan Penolong Pengarah Birotatanegara Cawangan Negeri Sembilan Mohd Fadzli Che Harun.
Teks & Foto : Hafiz Meah Ghouse Meah, Nor Khamisah Saidin & Aishah Hanis Azmi
- Created on .
- Hits: 1111