USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MALAM PUISI DAN LAGU CUNGKIL BAKAT BERPUISI DALAM KALANGAN SISWA

PULAU PINANG, 19 April 2016 – ‘Malam Puisi dan Lagu’ menjadi platform dalam mencungkil bakat siswa dan siswi Universiti Sains Malaysia (USM) dalam seni puisi, apatah lagi dengan perkembangan arena puisi dan sajak masa kini yang semakin kurang mendapat perhatian terutama dalam kalangan golongan muda.

Pengarah Projek Malam Puisi dan Lagu, Koh Yong Lik berkata, program anjuran Kelab Sastera di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) itu dibuat khusus bagi menghidupkan kembali semangat berpuisi dan menggilap bakat sedia ada dalam kalangan siswa.

“Program ini juga bertujuan memberi pendedahan tentang puisi dan sajak kepada penonton terutamanya mereka yang tidak pernah menghadiri sebarang majlis seumpama ini.

“Selain itu, kami juga mahu memperkenalkan Kelab Sastera di PPIK kepada siswa USM. Majlis ini secara tidak langsung merapatkan ukhwah dan hubungan antara ahli kelab dan juga penonton,” katanya.

Tambahnya bakat berpuisi dan bersajak ini tidak tertumpu kepada mereka di dalam bidang sastera sahaja. Kebanyakan peserta yang menyertai persembahan pada malam itu terdiri daripada mereka yang beraliran sains dan seni.

Turut membuat penampilan khas pada malam tersebut ialah Siso Kopratasa atau dikenali sebagai Syed Indra Syed Omar, salah seorang pejuang lagu puisi yang turut dijemput bagi menyampaikan beberapa puisi ciptaannya kepada penonton.

Majlis dimulakan dengan lagu puisi bertajuk ‘Menidurkan Halini’ daripada Siso dan diteruskan dengan persembahan puisi dan sajak dari peserta. Kumpulan Suksi Busker turut dijemput bagi menghiburkan penonton dengan nyanyian berkonsepkan akustika iaitu ‘Suatu Masa dan Mantera Semerah Padi’.

Teks: Nur ‘Izzah ‘Atira bt Muhamad Nazmi (Pelajar Internship USM)

  • Created on .
  • Hits: 698

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024