USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IMCC BERPERANAN MENINGKATKAN KEANTARABANGSAAN UNIVERSITI

USM, PULAU PINANG, 17 April 2016 – Penstrukturan semula Pejabat Antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai Pusat Keantarabangsaan Mobiliti dan Kerjaya (IMCC) telah membentuk dimensi baru dalam perancangan program untuk pelajar-pelajar USM menimba pengalaman sebanyak mungkin bersama-sama pelajar antarabangsa selain dapat memahami kepelbagaian dari negara lain.

Pengarah IMCC, Dr. Muhizam Mustafa berkata, perubahan yang dilakukan adalah berdasarkan kepada strategi universiti dalam meningkatkan keantarabangsaan USM sebagai sebuah universiti APEX.

"Jika dahulu ianya dikenali sebagai Pejabat Antarabangsa, skopnya agak kecik tetapi selepas dikenali sebgai IMCC, skopnya lebih besar kerana merangkumi keantarabangsaan untuk pasaran graduan dan untuk latihan industri di luar negara," jelasnya ketika ditemui dalam program Fuse Interaction Night malam tadi.

Tambah Muhizam lagi, Fuse Interaction Night ini adalah salah satu usaha IMCC sebagai pusat keantarabangsaan untuk memastikan  pelajar-pelajar antarabangsa dan pelajar tempatan di USM sendiri mempunyai pengalaman belajar di USM dan dapat mengenali budaya antara satu sama lain.

"Pelajar antarabangsa bukan hanya datang sini untuk belajar tapi dapat berinteraksi dengan pelajar tempatan dengan lebih erat lagi selain secara tidak langsung dapat mengenali budaya di Malaysia yang mempunyai kepelbagaian kaum ini," katanya.

Tambahnya, program ini adalah satu peluang untuk melihat bahawa universiti kita bukan hanya berada di tahap yang terbaik di negara tetapi sebagai satu pilihan pelajar antarabangsa kerana kepelbagaian dan sikap pelajarnya yang baik.

Fuse adalah program yang pertama selepas penubuhan IMCC, dan Muhizam berharap program ini akan diulang lagi dalam memastikan USM dilihat berpotensi sebagai satu pusat dalam universiti yang berantarabangsa.

Selain program ini, IMCC telah mengadakan aktiviti santai 'coffee hour class' di mana pelajar antarabangsa menjadi guru kepada pelajar tempatan dalam mengajar bahasa asing seperti  German dan Finnish (bahasa Finland).

"Lebih banyak lagi program yang akan IMCC jalankan dalam tahun ini kerana usaha IMCC sekarang ini bertumpu kepada meningkatkan nama universiti bukan sahaja dalam bidang akademik malah lebih dari itu," kata Muhizam.

Pengarah projek FUSE night Interaction, Syed Kamil Naufal Syed Yusof, 22, berkata objektif utama program ini adalah memberikan pengalaman yang manis kepada pelajar antarabangsa, dan mereka ini akan pulang ke negara masing-masing dan mengwar-warkan USM sebagai universiti yang sangat kondusif dan sangat menyokong setiap aktivtiti yang dijalankan oleh pelajarnya.

"Buat pertama kalinya, kami adakan aktiviti unggun api untuk pelajar menyaksikan persembahan yang diadakan pelajar-pelajar tempatan dan antarabangsa secara santai selain terdapat juga gerai jualan oleh pelajar antarabangsa dalam memperkenalkan makanan mereka serta persembahan demo main api yang dijemput khas," kata pelajar tahun dua Sains Kemasyarakatan ini.

Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Muhammad Firdaus Khiruddin

  • Created on .
  • Hits: 1189

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024