USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROGRAM AFC PLATFORM SISWA BERKHIDMAT UNTUK MASYARAKAT

act 1

KEDAH, 18 April 2016 – Program khidmat masyarakat “Act For Change” (AFC) menjadi satu program unik yang disifatkan dapat menyuntik semangat kesukarelawanan dan menyemai jati diri mahasiswa untuk  berkhidmat kepada komuniti.

Program anjuran Persatuan Sains Kajihayat (Biosociety) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Kelab Staf, Pusat Pengajian Sains Kajihayat (PPSKH) USM yang disertai seramai 45 peserta dan 74 orang anak yatim itu berlangsung dengan jayanya di Rumah Gemilang, Pertubuhan Kebajikan dan Didikan Anak Yatim Islam daerah Sik, Kedah (ADIK).

Berucap merasmikan program yang julung kali diadakan, Dekan PPSKH, Profesor Dr. Amirul Al-Ashraf Balakrishan Abdullah berkata, AFC berjaya menyahut cabaran dalam melaksanakan program yang melibatkan komuniti selari dengan amanat Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman yang mahukan menara ilmu memperkasa komuniti.

act 2

act 4

“Objektif utama program ini dijalankan adalah untuk memupuk kesedaran dalam kalangan remaja mengenai peranan individu terhadap komuniti selain melahirkan siswa-siswi yang seimbang dari aspek rohani, intelektual dan sosial,” kata Amirul.

Beliau menambah, fokus utama program AFC ini adalah untuk memberikan inspirasi dan nafas baru dalam kehidupan anak-anak yatim yang terlibat menerusi sesi “Sharing and Motivating” di samping melakukan sukaneka dan kerja amal dalam memperbaiki dan memperbaharui kelengkapan Rumah Gemilang ADIK.

Menurut Pengarah Projek, Wong Kiing Chai, sasaran utama program AFC ini ditujukan kepada staf PPSKH sendiri dan juga kepada siswa-siswi USM tanpa mengira jurusan.

“Idea ini diilhamkan sendiri oleh Dekan PPSKH, Profesor Dr. Amirul untuk untuk memberi manfaat kepada para pelajar dan staf USM yang terlibat serta juga kepada masyarakat di sekeliling,” jelas Wong.

act 5

Sebagai Pengarah Projek, Wong amat teruja kerana walaupun pertama kali diadakan, banyak pihak tampil memberikan kerjasama yang jitu terhadap program AFC.

Turut hadir dalam melaksanakan program ini adalah Timbalan Presiden Kelab Staf PPSKH, Dr. Nik Mohd Izham Mohamed dan Penolong Setiausaha Rumah Gemilang ADIKAbdul Rahman Abdul Khalek.

Teks: Nur Qutreen Nada Mahamud (Pelajar Internship USM)

  • Created on .
  • Hits: 955

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024