FAHAMI KONSEP ‘DADAH REKREASI’ SEBELUM AMBIL TINDAKAN TERBURU-BURU
USM, PULAU PINANG, 15 April 2016 – Seperti yang diketahui ramai, dadah adalah musuh nombor satu di Malaysia. Hingga kini, kita masih gagal mencari formula berkesan menangani isu berkaitan dengannya.
Kenyataan Ahli Parlimen Belia, Muhamad Ridhwan Muhamad Rosli, mencadangkan supaya kesalahan menghisap marijuana atau ganja perlu dikaji semula kerana golongan muda tidak menganggapnya sebagai dadah, sebaliknya mampu memberi ketenangan serta menghilangkan stres telah menarik banyak reaksi pelbagai pihak di negara ini.
Pengarah Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Razak Lajis berkata, mereka yang mencadangkannya belum begitu faham rasional dan justifikasi penggunaan ganja yang dianggap sebagai dadah rekreasi di sesetengah negara Barat.
Katanya, masyarakat dinasihatkan tidak terlalu ghairah memberi cadangan menghalalkan ganja jika belum memahami secara mendalam mengenainya.
“Memang di negara-negara barat seperti Belanda dan Amerika Syarikat telah membenarkan penggunaan ganja kerana bahan itu tidak menjadikan individu agresif atau hilang pertimbangan seperti dadah berbahaya lain, namun kita tidak boleh terburu-buru membuat sebarang keputusan kerana di negara Barat pun, penggunaannya masih belum menyeluruh,” tambahnya.
Jelas Razak lagi, Ganja (marijuana) berasal daripada beberapa spesies tumbuhan kanabis seperti Cannabis Sativa, Cannabis Indica dan Cannabis Inderalis. Ia mengandungi lebih 460 bahan kimia. Tiga bahan utama yang memberikan kesan kepada manusia ialah 9-delta- tetrahidrocannabinoids, cannabinol dan cannabidiol.
“Tumbuhan ini mempunyai banyak aplikasi dalam perubatan tradisional, sama seperti pokok ketum yang digunakan di utara Malaysia. Ia diguna sebagai ubat penahan sakit, penawar demam panas dan bahan menambah selera makan,” katanya ketika membincangkan topik Diskriminasi Dadah Rekreasi dalam Diskusi Anak Muda (DAM) Siri 1 anjuran Pusat Racun Negara dengan kerjasama Parlimen Belia Malaysia.
Diskusi yang berlansung selama dua jam ini turut dibarisi dua ahli panel yang lain iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat & Kesihatan Parlimen Belia Malaysia, Dr. Rizal Abd Rahman dan Setiausaha Kerja Barisan Nasional Youth Volunteer (BNYV) Penang, Khairi Syafiq Nan bersama moderator, Ahli Parlimen Belia Pulau Pinang, Ahmad Wafi Sahedan.
Razak turut mengakui, ganja berkesan bagi mengurangkan sembelit, kegelisahan, kekejangan otot dan merawat penyakit sawan. Malangnya, ganja lebih popular di Malaysia sebagai bahan disalah guna. Penagih mengambil ganja dengan tujuan memudahkan 'interaksi sosial' serta mengurangkan stres atau tekanan.
Katanya lagi, jika dikaji secara mendalam, ganja sebenarnya kurang popular pada masa ini. Mereka mula beralih kepada heroin dan dadah sintetik. Air ketum mengambil alih tempat ganja sebagai permulaan ketagihan dadah dalam kalangan orang muda.
“Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, ganja kembali mendapat perhatian dunia terutama kerana keberkesanannya dalam mengubati beberapa penyakit tertentu. Ganja didapati efektif menghilangkan rasa loya dan muntah dalam kalangan pesakit kanser, merangsang selera makan pesakit AIDS, mengurangkan ketegangan dan kesakitan pesakit sklerosis berbilang (multiple sclerosis). Ia juga dikatakan berkesan sebagai ubat penahan sakit untuk pesakit kanser terutama bila digabungkan dengan ubat penahan sakit,” tambah Razak.
Namun,menurutnya penggunaan ganja dalam bidang perubatan masih pada peringkat kajian. Itupun terhad kepada penyakit tertentu dan dalam bentuk berbeza daripada yang digunakan dalam kalangan penagih.
Teks: Syuhada bt Abd Aziz
- Created on .
- Hits: 2302