KETEPATAN, KELANCARAN DAN KEINDAHAN - PRINSIP UTAMA DALAM PROSES PENTERJEMAHAN
PULAU PINANG, 15 April 2016 - Ketepatan, kelancaran dan keindahan merupakan tiga prinsip utama terjemahan yang sering ditekankan oleh penterjemah pertama China, mendiang Yan Fu yang diperoleh daripada buku bertajuk “The principles of Translation Evolution and Ethics and Other Essays” dalam proses terjemahan.
Mendiang Yan Fu juga banyak menterjemah karya-karya ilmu politik, ekonomi dan sains fizikal barat secara sistematik. Beliau juga telah menterjemah dan menerbitkan tujuh buah karya penting dari Barat, antaranya termasuklah "Spirit of Law" yang ditulis oleh C. D. S Montesquien dan "Study of Sociology" yang ditulis oleh H. Spencer yang telah meningkatkan pengetahuan rakyat China dalam bidang sains, ekonomi, politik, perundangan dan sosiologi.
Demikian kata penterjemah muda berpengalaman, Fu Cong Cong atau turut dikenali dengan nama Islamnya, Johan Ikhwan semasa memberikan Ceramah Terjemahan dan Interpretasi bertajuk “Liku-liku Penterjemahan Manuskrip Sulalat al Salatin ke dalam Bahasa Cina” yang diadakan di Dewan Kuliah D, Universiti Sains Malaysia (USM), di sini baru-baru ini.
Fu Cong Cong yang juga Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu Beijing Foreign Studies menjadikan mendiang Yan Fu sebagai sumber inspirasi dalam melakukan terjemahan, khususnya bagi meningkatkan kelancaran yang disifatkan sebagai prinsip yang penting dalam proses terjemahan untuk membolehkan pembaca mudah memahami apa yang diterjemahkan.
“Prinsip pertama dalam penterjemahan iaitu ketepatan atau dalam maksud bahasa Cina kebolehpercayaan. Ia merujuk kepada segala makna dalam penterjemahan harus dikekalkan dalam teks asal tanpa wujud penambahan dan pengurangan dan mempunyai unsur ketepatan. Penterjemahan yang menggunakan emosi dalam karya klasik Melayu yang ringkas harus dilakukan untuk membolehkan pembaca dapat membayangkan situasi yang berlaku pada masa itu.
“Keindahan merupakan prinsip yang sukar ditepati oleh penterjemah kerana mereka sering kali menggunakan idea kreatif sendiri dengan menggunakan pepatah dan peribahasa dalam bahasa Cina kerana penulis asal berkemungkinan tidak berniat untuk menggunakan ayat berbunga di samping mengekalkan prinsip ketepatan,” jelasnya.
Fu Cong Cong berkata, mendiang Yan Fu beranggapan bahawa para penterjemah tidak mempunyai ilmu yang meluas untuk menterjemahkan sesebuah buku dari bahasa Melayu ke bahasa Cina atau bahasa asing kerana menitikberatkan aspek kelancaran dan ketepatan. Selain itu, penterjemah mempunyai ilmu pengetahuan yang terhad dalam satu bidang sahaja.
“Saya juga hanya memberi tumpuan dalam penterjemahan karya klasik Melayu, penterjemahan dalam bidang lain memerlukan usaha yang lebih banyak dan ketepatannya tidak terjamin.
“Penyeragaman akan dilakukan supaya istilah umum dalam sejarah Melayu yang diterjemahkan ke bahasa Cina membolehkan semua ahli kumpulan terjemahan memberi terjemahan yang sama dan mampu difahami oleh pembaca. Mengumpul tenaga terjemahan dari Melayu klasik ke bahasa Cina merupakan satu kekangan dalam bidang terjemahan apabila kebanyakan pelajar tidak berminat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi selepas ijazah sarjana muda menyebabkan penterjemah sukar dicari di China,” katanya.
Teks: New Gaik Siew (Pelajar Internship USM)
- Created on .
- Hits: 1306