USM TUBUH JAWATANKUASA KHAS BANTU PELAJAR
USM, PULAU PINANG, 18 April 2016 - Pengaruh dan peranan rakan sebaya penting dalam menangani pelbagai masalah dan tekanan emosi yang dihadapi yang kemungkinan boleh membawa kepada percubaan bunuh diri dalam kalangan pelajar.
Demikian kata Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni – HEPA) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato Dr. Adnan Hussein dalam seminar ‘Newspaper On Campus’ (NOC) semalam.
"Satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan di bawah seliaan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat - JIM), Profesor Dato' Dr. Susie See Ching Mey yang juga seorang pakar kaunseling dan psikologi bagi menangani kes sebegini dengan lebih serius.
"Gejala awal seperti kemurungan dan sikap memencilkan diri secara tiba-tiba dalam kalangan mereka yang terlibat dalam cubaan bunuh diri ini dapat dikesan oleh rakan terdekat mereka.
"Namun disebabkan kurang peka dan tidak pasti langkah awal yang perlu dilakukan bagi membantu rakan mereka yang bermasalah, hal ini jarang mendapat perhatian," katanya kepada 25 orang peserta NOC.
Tambahnya, Persatuan Mentor Rakan Siswa (MRS) dan Unit Kaunseling USM juga ditubuhkan dalam memastikan masalah ini dapat dikesan dari peringkat awal.
Mereka dapat membantu pelajar melalui nasihat, bimbingan dan juga pantauan secara berterusan daripada pihak universiti dengan bantuan rakan lain.
"Jika ada pelajar yang mengetahui tentang rakan yang bermasalah sedemikian, mereka dinasihatkan hadir ke Unit Kaunseling USM dan maklumkan kepada pihak kami," katanya lagi.
NOC merupakan program yang melatih seramai 25 orang siswa dari pelbagai bidang sebagai wartawan kadet di USM. Program tersebut bertujuan mengasah bakat penulisan pelajar yang bukan di dalam bidang kewartawanan untuk menulis berita.
Teks: Nur 'Izzah 'Atira bt Muhamad Nazmi (Pelajar internship USM)
- Created on .
- Hits: 631