KSS USM MULA LANGKAH KANAN KEJOHANAN LIGA HOKI PULAU PINANG-TNB 2016
USM, PULAU PINANG, 17 April 2016 - Pasukan Hoki Kelab Sukan Staf (KSS) Universiti Sains Malaysia (USM) memulakan langkah kanan dalam Kejohanan Liga Hoki Pulau Pinang-TNB 2016 apabila menang bergaya mengatasi pasukan USM Students dengan jaringan 7-3.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki USM kelmarin menyaksikan gol-gol kemenangan KSS USM dijaringkan dengan penuh bergaya oleh Rahimi Baharom dengan 4 gol dan masing-masing 1 gol oleh Mohd Azrihan Mohd Arif, Mohd Suhaimi Abd Rahaman dan Ku Ahmad Azrezal.Pengurus pasukan KSS USM, Mohd Suhaimi Abd Rahaman berkata, kemenangan ini merupakan permulaan yang baik bagi pasukan KSS USM dalam kejohanan ini.
"Diharapkan momentum kemenangan ini akan berterusan bagi perlawanan seterusnya dan para pemain akan terus menunjukkan prestasi di tahap yang terbaik bagi memberi cabaran kepada pasukan-pasukan lain yang bertanding," kata pemain penyerang KSS USM ini.
Sementara itu, pemain posisi pertahanan Ahmad Hazran Yusof Hamdani pula menyimpulkan secara keseluruhan para pemain telah bermain dengan cemerlang dalam perlawanan pertama ini. Tambah Hazran, barisan pertahanan pasukan perlu diperkemaskan lagi pada perlawanan seterusnya agar gawang tidak mudah dibocori dengan gol-gol dari pihak lawan.
Perlawanan seterusnya bagi KSS USM adalah menentang pasukan Kepala Batas Youth (KBY) pada 23 April 2016 jam 8.00 malam di Stadium Hoki USM.
Kejohanan Liga Hoki Pulau Pinang-TNB 2016 ini terbahagi kepada 2 kumpulan iaitu Kumpulan A diwakili oleh USM Students, AMKPP MPSP, KSS USM, Kepala Batas Youth (KBY), MISCF Penang, TUDM dan SMK Mutiara Impian 'A' manakala Kumpulan B diwakili oleh SMK Mutiara Impian 'B', Penang Sports Club (PSC), PESSCA, Kolej Teknologi Pulau (ICT), Penang 2020, Old Frees Association (OFA) dan Penang Free School (PFS).
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Ubaidillah Ozmin
- Created on .
- Hits: 1279