KOR SUKSIS USM BANTU GELANDANGAN
GEORGETOWN, PULAU PINANG, 17 April 2016 – Persatuan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi Universiti Sains Malaysia hari ini terus menabur bakti kepada golongan gelandangan melalui Program 'Feed The Homeless' di sekitar Jalan Penang Georgetown Pulau Pinang.
Menurut SUPT/KS Dr. Nazarudin Zainun, program ini penting kepada anggota Suksis USM untuk mereka melihat dan memahami sendiri denyutan nadi sebenar golongan gelandangan terutamanya yang tinggal di bandar.
"Apabila anggota Suksis ini tamat pengajian di peringkat universiti, mereka akan menjadi individu penting untuk pentadbiran dalam masyarakat dan negara, justeru itu, dengan pendedahan kepada program sebegini, sedikit sebanyak kesedaran dan rasa empati turut dapat mereka jiwai," katanya.
Nazarudin juga berharap pengalaman yang ditimba anggota Suksis ini akan memberikan asas dan panduan kepada mereka untuk memahami masyarakat di luar sana sebelum sesuatu keputusan atau dasar yang ingin diterapkan untuk dilaksanakan kelak jika berkhidmat untuk negara.
Sementara itu, pengarah projek, Nik Mohamad Shafiq Musa pula berkata ini merupakan program seumpama yang dilakukan oleh Persatuan Suksis USM dan berharap ianya dapat diteruskan oleh legasi kepimpinan Suksis akan datang.
Tambah Shafiq lagi, program ini sangat bermakna baginya dan rakan-rakan kerana mereka bukan hanya membantu golongan gelandangan ini semata-mata akan tetapi belajar dan mengambil iktibar dari kisah mereka ini.
Bungkusan berbentuk makanan diberikan kepada golongan ini dalam program yang berlangsung dari 12.30 pagi hingga 2.30 pagi yang disertai 40 anggota Suksis USM.
Turut serta dalam program adalah DSP/KS Dr. Mohd Adi Firdaus Tan Abdullah, ASP/KS Zulkifli Che Hussin dan Pegawai Penyelaras Suksis USM, ASP Azmi Shukor beserta jurulatih-jurulatih PDRM.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Zulkifli Che Hussin
- Created on .
- Hits: 1108