USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENGURUSAN KEWANGAN YANG MANTAP PENTING DALAM PENGURUSAN UNIVERSITI

GEORGE TOWN, PULAU PINANG, 8 April 2016 - Pengurusan kewangan yang mantap di universiti penting dalam memastikan pencapaian modal intelek universiti.

Ia adalah fokus utama dalam pembentangan wakil daripada Universiti Padjadjaran Bandung, Indonesia, Cik Hinny Herliany pada sesi selari ketujuh Global Higher Education Forum (GHEF) 2016 yang baru berlalu.

Menurut Hinny, pengurusan kewangan yang cekap mampu mempengaruhi sistem di universiti dari segi kedudukan dan pencapaiannya. Beliau memberi contoh universiti di Indonesia pada kedudukan ke-11 berdasarkan QS Ranking World University.

“Berdasarkan Indeks Persaingan Global 2015 - 2016 antara universiti-universiti di sembilan negara ASEAN – Singapura, Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, Vietnam, Laos, Kemboja dan Myanmar – dapat dilihat bahawa Indonesia berada di kedudukan keempat.

“Kedudukan ini boleh dianggap baik dan kini Indonesia masih dalam usaha untuk menaikkan kedudukannya ke aras yang lebih baik dari sekarang,” jelasnya.

Tambahnya, gejala rasuah boleh memberi impak besar kepada pengurusan kewangan universiti kerana rasuah yang berleluasa mengakibatkan peruntukan di universiti juga terjejas.

“Selain itu punca lain yang mempengaruhi pencapaian modal intelek universiti adalah karenah birokrasi kerajaan yang tidak stabil, kadar cukai yang tinggi dan juga polisi negara yang tidak ketat,” kata Hinny.

“Situasi sebegini kebanyakan terjadi di negara dunia ketiga. Isu kewangan dalam pendidikan adalah penting kerana tanpa wang segala program berkenaan universiti, pendidikan dan pelajar tidak dapat diselenggara dengan baik sekaligus memberi kesan yang sangat besar kepada negara.

“Oleh itu kawalan ke atas setiap peruntukan kewangan di universiti perlu dipantau dengan lebih teliti. Pengurusan yang teratur membolehkan ahli akademik dan kakitangannya memberi sepenuh fokus kepada pencapaian objektif, visi dan misi universiti mereka,” katanya.

Malaysia kini berada pada kedudukan kedua di dalam Indeks Persaingan Global.

Pengurusan kewangan yang cekap membolehkan setiap universiti meningkatkan pencapaian mereka dari pelbagai aspek.

Teks: Nur ‘Izzah ‘Atira bt Muhamad Nazmi (Pelajar internship USM)

  • Created on .
  • Hits: 792

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024