TOT PLATFORM CUNGKIL BAKAT SUKAN WARGA USM
USM PULAU PINANG, 16 April 2016 - Temasya Olahraga Tahunan (TOT) merupakan acara sukan tahunan yang besar dan istimewa kerana melibatkan keempat-empat kampus utama Universiti Sains Malaysia (USM) iaitu Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan, Kampus Kesihatan dan Kampus Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT).
Demikian ujar Pengerusi Jawatankuasa Pengelola TOT kali ke-42, Mohd Noorhadi Mohd Yusof yang juga berharap supaya semua kontinjen yang terlibat dalam temasya kali ini berupaya memberikan sepenuh daya usaha dan bersemangat dalam menaikkan nama kontinjen masing-masing.
Tambahnya lagi, semoga penganjuran temasya seperti ini di USM mampu melahirkan mahasiswa yang berbakat dan hebat dalam arena sukan dan dapat membawa nama USM ke peringkat yang lebih tinggi dalam konteks sukan.
Sementara itu, Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Haji Muhamad Mohd. Hanif pula merakamkan ribuan terima kasih kepada barisan Ahli Jawatankuasa Pengelola di atas semangat dan kesungguhan dalam memastikan temasya kali ini berjalan lancar.
Beliau juga berharap agar bakat para atlet dalam arena olahraga sentiasa digilap sekaligus melahirkan modal insan yang seimbang dari segi rohani, jasmani, intelektual dan emosi.
Lebih 40 kategori acara olahraga dipertandingkan dalam temasya kali ini yang berlangsung dari 15-17 April 2016 di Stadium Olahraga USM.
Penaja utama TOT kali ini adalah Milo manakala penaja sampingan adalah CIMB Bank, Kimberly-Clark, ESCAPE dan Orient Fitness.
TOT diadakan buat pertama kalinya pada tahun 1972 dan hanya melibatkan penyertaan dari pusat-pusat pengajian, kemudian telah bertukar konsep dengan membuka penyertaan kepada semua desasiswa dan kelab sukan staf dalam USM bagi mendapatkan penglibatan dan perhatian secara menyeluruh warga USM.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 848