USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LOUGHBOROUGH UNIVERSITY, UK JALIN KERJASAMA PENYELIDIKAN BERSAMA USM

USM, PULAU PINANG, 15 April 2016 – Loughborough University, United Kingdom berminat menjalin kerjasama penyelidikan berfokuskan bidang kejuruteraan dengan Universiti Sains Malaysia (USM).

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, kedua-dua pihak telah membincangkan pelbagai idea kolaborasi yang akan disusuli ke peringkat seterusnya melalui penglibatan pelbagai pihak.

“Kolaborasi akan menjurus secara spesifik kepada pusat-pusat pengajian dalam USM dan pengurusan tertinggi Universiti akan memberi sepenuh komitmen untuk menjayakan segala kerjasama yang dibuat.

“Ini termasuk dalam aspek membangunkan penyelidikan secara bersama, pertukaran staf akademik dan pelajar, pembangunan program-program akademik dan pelbagai bidang lain yang mempunyai manfaat kedua-dua pihak,’’ tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan sesi pembentangan dan perbincangan kolaborasi sempena lawatan khas delegasi Loughborough University (LU) yang diketuai oleh Naib Canselornya, Profesor Robert Allison di sini hari ini.

Sesi yang membincangkan pelbagai idea dalam pengukuhan jaringan antarabangsa itu turut disertai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan Dan Inovasi), Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan; Pengarah Pusat Keantarabangsaan Mobiliti dan Kerjaya (IMCC), Dr. Muhizam Mustafa serta Timbalan Naib Cancelor LU, Professor Steve Rothberg dan Pengarah Pejabat Antarabangsa LU, Charles Carter.

Sementara itu, Naib Canselor LU, Professor Robert Allison berkata bahawa hasil pembentangan menunjukkan terdapat banyak persamaan antara kedua-dua universiti ini.

“Saya melihat ada banyak persamaan yang boleh diteroka untuk manfaat bersama khususnya dalam bidang penyelidikan kejuruteraan dan keberhasilan yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua buah negara,” tambahnya lagi.

Jelasnya LU mempunyai kekuatan dalam bidang-bidang seperti kejuruteraan dan sains sukan dan pelbagai lagi yang boleh diperkembangkan melalui kolaborasi dengan USM.

“Saya yakin, ini merupakan permulaan yang baik dalam menentukan strategi dalam penyelidikan yang dapat membantu komuniti serta masyarakat," katanya.

Teks: Syuhada Abd Aziz dan Nandhini Thiagaraja

  • Created on .
  • Hits: 835

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024