USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BERSEDIA HADAPI CUACA PANAS, SARAN NC

USM, PULAU PINANG, 16 April 2016 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman menasihati pelajar yang terlibat dengan Temasya Olahraga Tahunan (TOT) USM ke-42 untuk bersedia menghadapi cuaca panas.

“Sekiranya cuaca terlalu panas, saya nasihatkan supaya acara yang dijalankan pada tengah hari dilewatkan atau dihabiskan awal sebelum cuaca menjadi semakin panas selama dua hari TOT berlangsung.

“Saya juga berharap semua atlet untuk menjaga kesihatan dengan meminum lebih banyak air dan juga memastikan bahawa tahap kecerdasan adalah pada tahap yang baik untuk bertanding,” sarannya ketika merasmikan TOT di Stadium Olahraga USM.

Dengan moto ‘TOGETHER ON TRACK’, seramai 500 petugas yang terlibat terdiri daripada jawatankuasa pengelola, pasukan beruniform, sukarelawan, Persatuan Olahraga Amatur Pulau Pinang (PAA) dan pelajar USM.

Tambah Omar lagi, USM akan sentiasa memberikan sokongan terhadap aktiviti-aktiviti yang dapat menjaga kesihatan pada setiap masa yang bercorakkan kesejahteraan bagi menyemarakkan program sukan di USM.

Sebanyak 11 pasukan mewakili desasiswa di USM Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan dan Kampus Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) yang terdiri daripada Bakti Permai, Cahaya Gemilang, Jaya Utama, Tekun, Restu, Saujana, Indah Kembara, Murni, Aman Damai, Fajar Harapan, Lembaran, Nurani termasuk satu pasukan diwakili staf USM telah menyertai TOT pada kali ini.

Pada temasya kali ini, lebih 40 acara olahraga dan balapan dipertandingkan melibatkan seramai 600 orang atlet daripada empat kampus tersebut.

TOT tahun lalu menyaksikan kemenangan kontinjen Jaya Utama yang berjaya merangkul enam emas bagi kategori lelaki manakala bagi kategori wanita pula, kontinjen Cahaya Gemilang menjadi juara dengan kejayaan membolot lima pingat emas.

Teks: Nor Khamisah Saidin (Pelajar Internship USM).

  • Created on .
  • Hits: 736

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024