USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PEMINDAHAN ILMU PERAWATAN - SUMBANGAAN USM KEPADA PESAKIT

KUBANG KERIAN, 14 April 2016 - Nik Muhammad Rahmad Nik Zahri, 17 tahun, adalah salah seorang pesakit yang terlibat dalam projek Pemindahan Ilmu kelolaan Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK).

Lawatan ke rumahnya oleh pasukan fisioterapi PPSK untuk berkongsi ilmu dan pendedahan kepada ahli keluarga cara-cara merawat pesakit terlantar membuahkan hasil yang positif apabila dalam tempoh tiga bulan, Nik Muhammad Rahmad mampu pulih dan berjalan seperti biasa.Tanggal 28 Januari 2015 menjadi tarikh yang sentiasa diingati oleh  Nik Muhammad Rahmad  apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya menyebabkan dirawat di Unit Penjagaan Rapi  atau ‘Intensive Care Unit’ Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan koma selama 11 hari kerana kecederaan di kepala.

Kerana demam, Nik Muhammad Rahmad tidak ke sekolah tetapi menggagahkan diri menunggang  motosikalnya ke klinik kesihatan berdekatan rumahnya. Malang tidak berbau. Dia terbabas bersendirian.

Keluargalah yang terus menjaga anak kelapan daripada sembilan beradik ini.

Kakaknya, Nik Razeana Nik Zahri, 29, memberitahu adiknya berada di wad selama 43 hari dan menjalani dua pembedahan termasuk pembedahan tempurung kepala akibat pendarahan.  Setelah keluar dari hospital, Nik Muhammad Rahmad terus terlantar dan seluruh badan sebelah kiri langsung tidak boleh bergerak.

“Sebagai kakak, saya dan adik-beradik yang lain bergilir-gilir menjaga Nik Muhammad Rahmad sejak  di hospital malah semasa koma kami sentiasa membacakan ayat-ayat Al-Quran di telinga dan bercakap dengannya biar pun dia tidak memberi sebarang tindak balas, begitu juga setelah  dibenarkan pulang ke rumah kami membawanya menjalani rawatan serta fisioterapi di Hospital USM," kata Nik Razeana.

“Panduan perawatan dan rehabilitasi yang diajar oleh ahli fisioterapi USM banyak membantu kami untuk menjaga dan merawat Nik Muhammad Rahmad sepanjang terlantar di rumah di samping urutan tradisional.

"Dalam masa tiga bulan, Nik Muhammad Rahmad pulih serta mampu berjalan walau pun perlahan namun semangat diri serta sokongan ahli keluarga membolehkannya pulih dalam masa yang singkat,” kata Nik Razeana yang kagum dengan kecekalan adiknya.

Nik Muhammad Rahmad kini kembali menyambung persekolahan pada bulan September 2015 dan dilantik sebagai Pengerusi Kelab Pembimbing Rakan Sebaya Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Gunong. 

“Saya sangat berterima kasih kepada keluarga yang tidak pernah jemu menjaga saya. Begitu saya terhutang budi kepada Ketua Unit Perubatan Pemulihan Dr. Hafiz Hanafi serta ahli-ahli fisioterapi yang banyak membantu saya dan keluarga sepanjang proses pemulihan. Begitu juga rakan-rakan yang sentiasa bersama memberi semangat dan dorongan sehingga ke hari ini,” ujar Nik Muhammad Rahmad.

Perkongsian pengalaman oleh Nik Muhammad Rahmad adalah salah satu cara pemulihan atau rehabilitasi di dalam bidang perubatan yang merujuk kepada satu proses dalam mengembalikan keupayaan seseorang pesakit akibat kecederaan. 

Ini juga adalah satu daripada kejayaan projek Pemindahan Ilmu di USM.

Teks & Foto:  Lailatul Hafiza Abdul Rashid

  • Created on .
  • Hits: 979

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024