RUN FOR CLEFT – SUMBANGAN KEPADA GOLONGAN YANG MEMERLUKAN
KUBANG KERIAN, 15 April 2016 – Bertujuan meringankan beban dan mengutip dana bagi Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia (CLAPAM), dan Persatuan Kebajikan Kanak-kanak HUSM (PEKA), satu larian amal akan diadakan pada 23 April ini yang bertempat di Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan Kubang Kerian (USMKK).
Larian amal anjuran Persatuan Sains Pergigian Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), bersama Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), terbuka kepada semua peringkat umur mengikut kategori yang diadakan.
Menurut Pengarah Projek, Izyan Izzati Mohd Razif, objektif larian ini adalah memberi kesedaran kepada siswa tentang nasib kanak-kanak CLAPAM dan PEKA dan memberi semangat kepada mereka.
“Selain itu, kami juga berharap agar dana ini dapat menambahkan jumlah tabungan mereka yang sedia ada. Program ini juga secara tidak langsung dapat menonjolkan sikap prihatin siswa kepada golongan tersebut.
“Kami juga menyasarkan pengumpulan dana sebanyak RM5000 untuk diberikan kepada kedua-dua persatuan ini,” jelasnya.
Yuran penyertaan bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun adalah sebanyak RM15, siswa USM, RM20 dan bagi kategori yang lain adalah RM25 setiap seorang.
Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Nadhirah (017-2018092) atau Sharmeen (012-9675702) atau layari laman sesawang mereka di Facebook Run FOR Cleft, Twitter @RunForCleft dan juga Instagram @RunForCleft.
Teks: Nur ‘Izzah ‘Atira bt Muhamad Nazmi (Pelajar Internship USM)
- Created on .
- Hits: 598