USM TERIMA MESIN NMR700MHz PERTAMA DI RANTAU ASIA PASIFIK TINGKAT KAPASITI PENYELIDIKAN BERIMPAK TINGGI USM
USM PULAU PINANG, 15 April 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menerima mesin NMR700 MHz yang merupakan pembelian unik bersama untuk kali pertamanya antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan USM dari Bruker Corporation yang bernilai 7.8 juta ringgit.
Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, mesin canggih ini merupakan unit pertama di rantau Asia Pasifik yang akan ditempatkan di Institut Farmaseutikal Dan Nutraseutikal Malaysia (IPHARM) Bukit Gambir Pulau Pinang.
“Keupayaan mesin ini berbanding mesin sedia ada ialah kos penyelenggaraan yang lebih rendah dan tidak memerlukan penambahan gas Helium dan Nitogen seperti unit sebelum ini, operasi yang lebih senyap melalui ‘integrated sound insulation’ dan ia lebih tahan lasak dan jangka hayat magnetnya lebih lama,” katanya ketika ditemui pemberita selepas penyerahan mesin ini dan melawat makmal IPHARM.
Tambahnya, perancangan masa hadapan untuk USM dengan adanya mesin ini ialah untuk menyokong usaha penyelidikan lebih maju dan berimpak tinggi, menyokong industri dan kerjasama dengan Bruker Corporation untuk menjadikan Unit NMR USM-IPHARM sebagai pusat latihan dan rujukan NMR di rantau ini.
“Dengan adanya teknologi ini, penemuan ujikaji akan mempunyai nilai tinggi dan tidak akan disoal kerana ianya mempunyai impak tinggi dari aspek ketetapan dan kejituan,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Farmasi, Dr. Teh Chin Hoe yang bertanggungjawab mengendalikan mesin ini berkata, NMR700 MHz ini mengaplikasikan teknologi paling terkini bagi NMR spektroskopi yang boleh digunakan dalam pelbagai disiplin ilmu meliputi Biologi, Kimia, Perubatan, Farmaseutikal dan juga industri-industri lain yang berkaitan.
“Di antara bidang kajian yang memerlukan penggunaan teknologi NMR700 adalah penentuan struktur bagi molekul kecil (kebiasaannya digunakan dalam industri farmaseutikal) dan makromolekul seperti protein, DNA dan oligosakarida, mengenalpasti interaksi molekul kecil dan protein dan mengenalpasti fenotip metabolik,” jelasnya.
USM sudah mempunyai 5 mesin seumpama ini yang berkapasiti rendah dan pembelian kali ini menjadikan jumlah keseluruhannya yang ke-6 dan yang paling canggih antara semua.
Penubuhan Majlis Pentadbiran bagi mengawal selia operasi alatan terdiri daripada keahlian majlis daripada 4 orang wakil dari USM dan 3 orang wakil dari Kerajaan Malaysia (MOSTI) dan dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan.
Majlis penyerahan mesin ini berlangsung di IPHARM dan dihadiri 50 orang dari USM, IPHARM dan MOSTI.
Untuk tontotan Buletin USM (https://www.youtube.com/watch?v=hEBMTaUtxCo)
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1463