KAMPUS SEJAHTERA SERU KESEDARAN SISWA ATASI PERUBAHAN IKLIM DUNIA
PULAU PINANG, 14 April 2016 – Fenomena El Nino kini bakal membawa kepada perubahan iklim secara mendadak seterusnya memberi kesan kepada manusia dan pertanian khususnya dalam konteks Malaysia.
Demikian antara intipati ceramah Sekretariat Kampus Sejahtera bertajuk ‘How Climates Changes Impact Agriculture’ yang disampaikan oleh Bashirah Al-Iman, Pengurusan 3, iaitu sukarelawan aktif mereka. Ceramah berkenaan diadakan di Dewan Kuliah U (DKU) dan dihadiri seramai 800 orang siswa.
Ceramah yang memfokuskan kepada kesan dan cara untuk mengatasi perubahan iklim dunia dalam konteks Malaysia itu dibuat bagi menyedarkan siswa bagaimana perubahan suhu mampu mempengaruhi kehidupan mereka pada masa akan datang.
“Tanda-tanda perubahan iklim akibat pemanasan global jelas dilihat menerusi bencana alam yang melanda beberapa kawasan di dalam negara ini. Antaranya adalah jerebu, kenaikan paras air laut dan kekurangan sumber air akibat El Nino pada masa ini. Hal ini secara tidak langsung akan menjejaskan pertumbuhan pertanian dan juga kehidupan lain,” katanya.
Menurut Bashirah, pada peringkat global, perubahan iklim secara mendadak itu merbahaya dan memberi kesan kepada penduduk setempat. Di Iraq, misalnya, pada Julai 2015, suhu kawasannya naik kepada 74 darjah celcius hingga menyebabkan kematian.
“Sebagai langkah bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan siswa, saya menyarankan agar warga kampus mengamalkan langkah mengurangkan pemanasan global berdasarkan empat langkah daripada Dasar Perubahan Iklim Negara iaitu Pembangunan secara lestari, Pemuliharaan alam sekitar, Pelaksanaan secara bersepadu dan Penglibatan yang berkesan.
“Kesemua langkah ini dapat dijadikan garis panduan dalam melindungi pertanian pada masa akan datang daripada menjadi kesan perubahan iklim yang mendadak,” katanya sambil menegaskan kesedaran dalam kalangan siswa juga penting bagi memastikan langkah tersebut mampu dilaksanakan.
Teks: Nur ‘Izzah ‘Atira bt Muhamad Nazmi (Pelajar Internship USM)
- Created on .
- Hits: 648