USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KANAK-KANAK HIDAP DIABETES SEAWAL USIA LAPAN TAHUN

PULAU PINANG, 14 April 2016 – Kebanyakan golongan remaja pada hari ini disahkan menghidap penyakit diabetes atau kencing manis seawal usia lapan tahun, demikian kata Pakar dari Bahagian Endokrinologi, Hospital Pulau Pinang, Dr. Lim Shueh Lin.

Beliau hadir ke Universiti Sains Malaysia (USM) sempena  Minggu Kesihatan Dunia 2016 yang bertemakan kepada peningkatan pesakit diabetes dalam kalangan remaja dan kanak-kanak melalui ceramah bertajuk ’Management of Diabetes Today’ di Pusat Sejahtera USM, di sini semalam.

Katanya, gejala ini berpunca daripada gaya pemakanan terutamanya pengambilan makanan segera secara berterusan.

“Sejak lima tahun lalu, statistik kesihatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan peningkatan jumlah pesakit diabetes dalam kalangan remaja. Hal ini amat membimbangkan kerana faktor usia bukan lagi faktor utama kepada penyakit ini.

“Selain itu, kerajaan akan terpaksa mengeluarkan lebih banyak dana dari segi perubatan bagi merawat mereka disebabkan jumlahnya yang semakin meningkat pada tahap membimbangkan,” katanya.

Diabetes adalah salah satu daripada penyakit tiga serangkai iaitu darah tinggi dan penyakit jantung yang kini telah menular secara berleluasa dalam golongan muda di Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa langkah dan usaha yang diambil oleh kerajaan untuk mengatasi masalah adalah sukar jika tahap kesedaran individu terutama bagi golongan remaja kurang.

Faktor genetik juga menyumbang kepada risiko tinggi remaja untuk mendapat diabetes jika mereka tidak mempunyai kesedaran awal mengenai sejarah penyakit keluarga mereka.

“Jika remaja mula menghidap diabetes pada usia yang begitu awal, risiko untuk pertambahan ubat diabetes dalam masa 10 tahun akan datang adalah tinggi. Kadar gula yang tidak menentu dalam badan juga akan mengakibatkan kegagalan buah pinggang untuk berfungsi.

“Perkara yang kerap kita dengar adalah mitos tentang ubat diabetes akan mengakibatkan kerosakan buah pinggang adalah salah. Kadar gula berlebihan dan tinggi dalam jangka masa terlalu lama di dalam badan sebenarnya yang akan menyebabkan kerosakan dan membawa kepada penyakit lain,” jelasnya.

Beliau turut menyarankan hadirin agar mengadakan pemeriksaan kesihatan enam bulan sekali selain keperluan mengawal pengambilan makanan yang mempunyai gula tersembunyi.

Selain itu pengambilan makanan sebanyak tiga kali sehari dalam jumlah yang berpatutan adalah penting untuk memastikan tubuh mendapat keperluan yang seimbang.

Teks: Nur ‘Izzah ‘Atira bt Muhamad Nazmi (Pelajar Internship USM)

  • Created on .
  • Hits: 2399

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024