BIOSOCIETY USM PRIHATIN NASIB ANAK YATIM RUMAH GEMILANG ADIK
PULAU PINANG, 14 April 2016 – Setiap kanak-kanak berhak mendapat pendidikan, bimbingan serta kasih sayang dan keperluan harian daripada ibu bapa mereka. Namun tidak kepada kanak-kanak di Rumah Gemilang, Pusat Asuhan dan Didikan Anak-Anak Yatim Daerah Sik (ADIK), Kedah, yang dibesarkan di Rumah Gemilang ADIK tanpa kedua-dua ibu bapa mereka.
Keprihatinan para pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) terhadap golongan anak yatim ADIK ditunjukkan dengan wujudnya Program “Art For Change” (AFC) yang dianjurkan oleh ahli Persatuan Sains Kajihayat USM (Biosociety) dengan kerjasama Kelab Staf Pusat Pengajian Sains Kajihayat (PPSKH) USM.
Menurut Pengarah Projek, Wong Kiing Chai, Program AFC bertujuan memupuk kesedaran tentang pentingnya memelihara hak kesamarataan dalam kalangan belia seterusnya menjana mahasiswa mahasiswi yang utuh dari segi keperibadian terpuji, rohani dan sahsiah di samping mempunyai kemahiran intelektual yang tinggi.
“Objektif sebenar program ini adalah untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada mereka yang terlibat tentang perlunya membantu dan meringankan beban masyarakat yang memerlukan.
“Program ini juga dijalankan bagi mengeratkan lagi hubungan kami antara Biosociety dengan Kelab Staf PPSKH untuk sentiasa bekerjasama dalam apa jua program pada masa akan datang,” jelas Wong.
Tambahnya lagi, program yang bertemakan ‘Mahasiswa Pencetus Perubahan Kepada Masyarakat’ dipilih bagi memupuk semangat berkasih sayang dan bertolenrasi sesama masyarakat. Program yang pertama kali diadakan di Rumah Gemilang ADIK membawa konsep membantu sambil mendedahkan pengalaman pembelajaran di USM dengan harapan untuk melahirkan mahasiswa mahasiswi yang sentiasa bersyukur.
“Kami memilih Rumah Gemilang ADIK kerana di rumah tersebut mempunyai seramai 74 orang penghuni iaitu 48 orang penghuni perempuan dan 26 orang penghuni lelaki yang berumur di antara 8 hingga 19 tahun. Ianya sangat sesuai dan mudah untuk kami sebagai pelajar mendedahkan pengalaman pembelajaran di universiti kepada mereka,” kata Wong.
Wong berkata, program yang akan berlangsung pada hari Sabtu (16 April 2016), lebih berfokus kepada latihan dalam kumpulan, dan pemberian motivasi dan semangat kepada para penghuni ADIK untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi serta menarik minat para penghuni terutamanya yang akan menduduki SPM untuk menceburi bidang Sains.
Manakala pada hari berikutnya (17 April 2016), kerja-kerja pembersihan dan mengecat akan diadakan di Rumah Gemilang Putera untuk mencantikkan kawasan asrama tersebut dan menyediakan persekitaran yang selesa serta kondusif untuk para penghuni lelaki.
“Kami mengadakan gotong-royong di Rumah Gemilang Putera kerana mereka baru sahaja berpindah ke asrama baharu. Kawasan yang akan dicat ialah pintu pagar utama dan tembok di kawasan luar Rumah Gemilang Putera,” tambah Wong.
Sebagai Pengarah Projek, Wong sangat berharap program ini sedikit sebanyak memberi impak positif kepada para penghuni Rumah Gemilang ADIK serta para peserta yang terlibat tidak kira sama ada dari segi ilmiah, sahsiah mahupun rohani.
Teks: Nur Qutreen Nada Mahamud (Pelajar Internship USM)
- Created on .
- Hits: 1161