PROJEK PEMINDAHAN ILMU BERI IMPAK POSITIF KEPADA MASYARAKAT
KUBANG KERIAN, 13 April 2016 - Geran Pemindahan Ilmu Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia menjadi suntikan semangat kepada enam ahli fisioterapi di bawah Program Kesihatan Persekitaran Dan Pekerjaan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK).
Bermula pada April 2014, projek ‘Memaksimumkan Sokongan Keluarga Dalam Meningkatkan Pengetahuan Dan Kemahiran Dalam Usaha Memperkasakan Individu Terlantar Dan Kurang Upaya’ kini berakhir dengan jayanya.
Majlis penutupan geran tersebut diadakan serentak pelancaran modul panduan rawatan fisioterapi iaitu laman sesawang, buku dan video ‘Panduan Rawatan Fisioterapi Untuk Pesakit Terlantar’ di Dewan Utama Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM).
Menurut Pengarah Projek, Nor Haslina Mohd, projek ini merupakan satu proses pemindahan ilmu tentang penjagaan pesakit terlantar secara holistik sebagai usaha meningkatkan pemahaman dan kemahiran perawat dalam menjaga diri sendiri dan juga usaha menjaga pesakit yang terlantar.
“Pesakit dan ahli keluarga diajar dan dididik cara untuk melakukan senaman seperti senaman gerakan pasif, regangan pasif, teknik ambulasi dan mekanik badan yang betul semasa hendak tidur serta apabila bangun dari tidur bagi mengurangkan risiko kecederaan fizikal semasa merawat pesakit kerana semasa proses tersebut, antara kecederaan yang biasa dialami oleh perawat atau penjaga adalah sakit belakang, sakit bahu dan sakit lutut.
“Selama dua tahun projek berjalan, pasukan fisioterapi yang terlibat mengadakan lawatan ke rumah pesakit bagi memberi pendedahan kepada ahli keluarga dan masyarakat tentang pentingnya melakukan senaman dan penjagaan kebersihan diri serta persekitaran bagi pesakit terlantar untuk mengelakkan komplikasi yang tidak diingini seperti kekerasan sendi, pemendekan otot dan kudis tekanan,” kata Nor Haslina.
Geran tersebut juga berjaya mewujudkan Kumpulan Sokongan Rehabilitasi di bawah Unit Perubatan Pemulihan Hospital USM yang membabitkan pesakit Spinal, Neurologi dan Kardiak. Penubuhan kumpulan sokongan ini adalah sebagai platform bagi pesakit, keluarga dan perawat berkongsi maklumat, ilmu dan pengalaman dalam menghadapi kecederaan atau penyakit serta mengembalikan keupayaan seseorang pesakit dengan mengurangkan ketidakupayaan fizikal dan mental akibat daripada penyakit yang dihadapi.
“Sepanjang projek berjalan, kami merawat seramai 100 orang pesakit dengan lawatan ke rumah dan berkongsi ilmu perawatan bersama keluarga mereka yang mana setiap pesakit akan dilawati sebanyak tiga kali iaitu pada lawatan kali pertama, mereka diajar cara-cara merawat, lawatan kedua pula akan melihat sama ada apa yang diajar digunakan atau tidak manakala lawatan yang ketiga, adalah penilaian terakhir bagi melihat perkembangan pesakit dan perawat juga diajar cara-cara untuk membantu pesakit terlantar menunaikan solat.
Menurut Nor Haslina lagi, senarai pesakit yang terlibat diperolehi daripada Hospital USM, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Yayasan Orang Kurang Upaya Negeri Kelantan.
Antara pesakit yang terlibat dalam projek tersebut terdiri daripada pesakit strok, kecederaan kepala, Parkinson dan sakit tua.
Hasil daripada program pemindahan ilmu ini juga, PPSK telah menghasilkan modul dan video rawatan pesakit di rumah serta laman sesawang untuk rujukan pesakit dan keluarga. Laman sesawang boleh dicapai dengan melawati tapak laman di www.fisioterapi.kk.usm.my.
Video dan buku panduan pula boleh diperolehi di PPSK atau hubungi Nor Haslina melalui emel
Nor Haslina mengharapkan agat modul rawatan tersebut dapat dimanfaatkan oleh pesakit, perawat, ahli keluarga serta seluruh masyarakat dalam memberi sokongan kepada pesakit untuk memulihkan kecederaan serta meneruskan kehidupan mereka dengan lebih baik.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Mohd Asrar Mohd Rokeman
- Created on .
- Hits: 1084